bisnes

Chatime sedia bantu pemilik francais Tealive

Oleh Nabil Basaruddin

CHATIME Malaysia Sdn Bhd (Chatime), anak syarikat milik penuh Will Group sedia memberi peluang kepada bekas pemilik francais Chatime untuk beroperasi semula di bawah jenama itu.

Pengarah Urusan Kumpulan Chatime Malaysia, Aliza Ali berkata, pihaknya berbesar hati untuk menawarkan peluang pekerjaan kepada bekas pemilik francais Chatime serta kakitangan mereka yang menerima kesan susulan penutupan Tealive.

Beliau berkata, sekiranya terdapat pemilik cawangan Tealive menghubunginya, syarikat akan membenarkan cawangan itu beroperasi di bawah jenama Chatime berikutan permintaan yang tinggi sejurus keputusan mahkamah dikeluarkan.

"Chatime Malaysia memuji keputusan mahkamah dan percaya ia akan memberi persepsi positif kepada keberkesanan dan integriti sistem kehakiman Malaysia.

"Bagaimanapun, kami juga sedar keputusan itu turut memberi kesan kepada pekerja, pemilik francais terbabit serta pelanggan yang menjadi tulang belakang perniagaan sejak Chatime mula beroperasi.

"Pintu kami sentiasa terbuka untuk membantu mereka yang terkesan dan buat masa ini. Mereka adalah keutamaan kami,” katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur.

Mahkamah Rayuan pada 5 Julai lalu telah menolak permohonan penggantungan pelaksanaan yang difailkan di Mahkamah Tinggi oleh pemilik Tealive, Loob Holding Sdn Bhd (Loob).

Ia berikutan perintah injuksi dikeluarkan mahkamah pada 27 Jun 2018 yang berpihak pada pemilik Chatime, La Kaffa International Co Ltd yang berpangkalan di Taiwan.

Permohonan Loob itu, yang difailkan sehari selepas keputusan perintah injunksi sementara oleh Mahkamah Rayuan, ditolak atas alasan syarikat itu melanggar kontrak dan tuntutan undang-undang terhadap La Kaffa, berkaitan dengan halangan dagangan serta undang-undang francais Malaysia.

Justeru, keputusan itu melarang Loob daripada mengendalikan Tealive sebagai perniagaan yang bersaing dengan Chatime untuk tempoh dua tahun di Malaysia, mengikut undang-undang.

Tambah Aliza, keputusan itu akan memperkukuhkan lagi keyakinan dan dapat menarik lebih ramai pelabur dagangan antarabangsa untuk melabur di Malaysia.

Berita berkaitan:

Tealive kemuka rayuan ke Mahkamah Persekutuan

Disiarkan pada: July 9, 2018 @ 6:34pm
d