bisnes

Urus niaga RM2.35b

Oleh Mahanum Abdul Aziz dan Farah Adila Raden

Kuala Lumpur: IHH Healthcare Bhd, firma penjagaan kesihatan 40.42 peratus milik Khazanah Nasional Bhd, mengambil alih 31.1 peratus kepentingan ekuiti dalam Fortis Healthcare Ltd yang berpangkalan di India dalam urus niaga bernilai RM2.35 bilion.

Pengambilalihan yang dibuat IHH menerusi anak syarikat milik penuhnya, Northern TK Venture Pte Ltd, itu dijangka mengukuhkan lagi kedudukan kumpulan perubatan itu dan menjadi peneraju sektor perkhidmatan penjagaan kesihatan di India.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif IHH, Dr Tan See Leng, berkata pengambilalihan kepentingan kawalan dalam Fortis Healthcare akan meningkatkan jangkauan perkhidmatannya di seluruh benua India.

Katanya, IHH secara aktif mengembangkan dan memperkukuhkan kehadiran di India sejak beberapa tahun lalu dan pengambilalihan berkenaan adalah kemajuan besar dalam pelan pengembangan.

“Gabungan menang-menang ini akan menjadikan IHH peneraju penyedia perkhidmatan penjagaan kesihatan di India dan pada masa sama memberikan Fortis Healthcare dan pemegang sahamnya kejelasan terhadap masa depan kumpulan.

“Dengan strategi yang jelas dan holistik, kami telah membangunkan pelan pemulihan selama 100 hari untuk menstabilkan Fortis Healthcare, yang akan membuka jalan bagi Fortis Healthcare untuk merealisasikan potensi sepenuhnya dalam jangka panjang.

“Kami berharap dapat terus menyediakan perkhidmatan penjagaan kesihatan terbaik dan memberikan hasil klinikal yang cemerlang untuk pesakit,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Mengulas lanjut mengenai pengambilalihan itu, dalam satu telesidang yang diadakan semalam, Dr Tan berkata, IHH menjangkakan pertumbuhan 23.7 peratus dalam pendapatan pascapengambilalihan Fortis kepada RM13.99 bilion setahun berbanding RM11.31 bilion.

Beliau berkata, ia mewakili jangkaan pertumbuhan dalam perolehan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) 16.5 peratus kepada RM2.71 bilion berbanding RM2.32 bilion.

“Sebaik mendapat kelulusan pemegang saham IHH, kami jangka pengambilalihan akan selesai menjelang suku keempat tahun ini dan sumbangan pertama (pendapatan dan keuntungan) daripada Fortis adalah menjelang suku pertama 2019.

“Dalam pasca pengambilalihan Fortis, kami jangka pendedahan kami kepada India, dari segi pendapatan akan berkembang ketara kepada 24 peratus berbanding enam peratus ketika ini,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi IHH, Datuk Mohammed Azlan Hashim, berkata pengambilalihan kepentingan kawalan dalam Fortis Healthcare, mewakili transformasi pelaburan bagi IHH dan menunjukkan komitmennya untuk melabur dalam mengembangkan dan mengukuhkan kehadirannya di India.

“Kami kekal yakin dalam kemampuan untuk mencapai kemampanan, pertumbuhan jangka panjang dan pewujudan nilai bagi pemegang saham kami,” katanya.

Disiarkan pada: July 14, 2018 @ 8:37am
d