bisnes

Hyatt House rancang ke Langkawi

Oleh Sofyan Rizal Ishak

Kuala Lumpur: Hyatt Hotels Corporation, syarikat hospitaliti global merancang membuka Hotel Hyatt House yang bukan saja pertama, malah yang terbesar di Mont Kiara.

Pengurus Besar Hyatt House Kuala Lumpur Mont Kiara, Bennett Peter berkata, ia dijangka beroperasi pada suku ketiga tahun ini.

“Kami juga aktif dalam meninjau potensi untuk membuka hotel di lokasi di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor serta turut melihat bandar lain seperti Pulau Pinang, Ipoh dan Langkawi,” katanya pada taklimat media mengenai Hyatt House Kuala Lumpur Mont Kiara di sini.

Hyatt House Kuala Lumpur Mont Kiara adalah hotel penginapan dilanjutkan (ESH) yang terletak dalam kawasan pembangunan Arcoris Mont Kiara.

Ia menawarkan pengalaman penginapan kontemporari bagi memberi keselesaan kepada tetamu yang juga simbolik kepada jenama Hyatt House.

Ia memiliki 298 bilik tetamu dan kemudahan lain seperti restoran, ruang mesyuarat seluas 3,100 kaki persegi, pusat kecergasan dan kolam di tingkat atas.

Hyatt House adalah jenama hotel empat bintang milik Hyatt Hotels dan menawarkan kualiti terbaik sama seperti jenamanya yang lain namun pada harga lebih rendah.

Beliau berkata, jenama hotel itu memberi fokus kepada segmen ESH melalui kewujudan bilik hotel yang direka untuk membolehkan pelanggan menginap untuk satu tempoh jangka panjang melalui penyediaan bilik yang dilengkapi ruang tamu, dapur dan bilik tidur.

Disiarkan pada: July 14, 2018 @ 8:41am
d