bisnes

Projek HSR: Umum keputusan sebelum akhir Julai

Oleh HM Digital

Kuala Lumpur: Keputusan berhubung projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR) akan dibuat sebelum hujung bulan ini, kata Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Azmin berkata, beliau sedang berkomunikasi dengan rakan sejawatannya dari Singapura dan sudah membentangkan kes itu ke Kabinet pada Rabu.

“Saya akan berjumpa dengan rakan sejawat dari Singapura tidak lama lagi dan akan membincangkan perinciannya,” katanya pada Forum Perdagangan dan Pelaburan Kesatuan Eropah (EU)-Malaysia 2018 di sini, semalam.

Minggu lalu, kerajaan dilaporkan menerima tawaran pengurangan separuh daripada kos asal pembinaan projek HSR.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dipetik sebagai berkata, tawaran itu diterima selepas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyatakan hasrat membatalkan projek mega itu apabila Pakatan Harapan (PH) membentuk kerajaan, 9 Mei lalu.

Katanya, kerajaan belum menerima tawaran rasmi, selain membayangkan kos asal pembinaan HSR berjumlah RM110 bilion yang dianggap terlalu tinggi.

Guan Eng berkata, kerajaan terbuka untuk meneruskan projek HSR itu jika harga dikenakan adalah berpatutan.

“Ada asas untuk melaksanakan projek ini, tetapi bukan pada kos yang terlalu tinggi,” katanya.

Singapura sebelum ini mendakwa, pihaknya terpaksa menanggung kos sedangkan Malaysia tidak memberikan jawapan yang jelas mengenai kedudukannya dalam projek berkenaan.

Disiarkan pada: July 17, 2018 @ 10:39am
d