bisnes

'Tak perlu kereta nasional kedua'

Oleh HM Digital

Petaling Jaya: Malaysia tidak memerlukan satu lagi kereta nasional baru memandangkan industri automotif negara sudah berkembang maju manakala dari segi skala ekonominya pula, pasaran kenderaan tempatan dilihat kecil.

Presiden Persatuan Automotif Malaysia (MAA), Datuk Aishah Ahmad berkata, industri automotif tempatan sudah pesat membangun dan ia kini mempunyai lebih 500 vendor tempatan yang memenuhi keperluan industri automotif negara dari segi bekalan.

Beliau berkata, jika dibandingkan dengan negara ASEAN lain seperti Thailand dan Indonesia, ia tidak mempunyai kereta nasional, tetapi industri automotif negara berkenaan berkembang kukuh.

Katanya, untuk melaksanakan projek kereta nasional, Malaysia perlu bekerjasama dengan pengeluar kereta bertaraf dunia yang ingin melabur di negara ini.

“Pada ketika kita mahu mempunyai kereta nasional PROTON, pembangunan vendor dan kejuruteraan ketika itu belum ada lagi. Dari semasa ke semasa, ia membantu dan menyokong industri berkembang.

“Namun kini, kita sudah ada PROTON, PERODUA dan industri berkembang maju. Malah, jenama lain juga turut menggunakan vendor tempatan,” katanya pada sidang media mengumumkan prestasi jualan kenderaan pada separuh pertama 2018 di sini, semalam.

Disiarkan pada: July 19, 2018 @ 9:42am
d