bisnes

MPTN, Viu umum kerjasama

Oleh Hazwan Faisal Mohamad

Kuala Lumpur: Media Prima Television Network (MPTN) mengumumkan kerjasama dengan Viu bagi menayangkan tiga siri asal untuk pasaran tempatan bermula September ini.

Tiga siri itu ialah Salon yang akan ditayangkan bermula September, Jibril (Oktober 2018) dan The Bridge (November 2018) yang akan ditayangkan di saluran NTV7 serta di Viu pada hari dan waktu sama.

Ini adalah kali pertama peneraju penyiar kandungan over-the-top (OTT) di rantau ini menjalin usaha sama dengan penyiar TV terbesar Malaysia untuk menayangkan isi kandungan pada hari sama.

Ketua Pegawai Eksekutif MPTN, Johan Ishak berkata, konsep kerjasama dengan Viu timbul apabila pihaknya mendapati penonton mahukan kandungan yang tulen, khusus berkisarkan Malaysia dan berkualiti tinggi.

“Kami percaya kerjasama ini boleh membangunkan lebih banyak siri drama yang hebat seperti drama Nur yang pernah ditayangkan di TV3.

“Selain itu, menerusi platform Viu, kami menjangkakan untuk mendapat lebih banyak capaian digital yang lebih khusus dan menyediakan kandungan berkualiti tinggi untuk rakyat Malaysia.

“Selain mahu menarik khalayak baru, ini langkah terbaik menghadiahkan penonton setia kami yang selama ini sentiasa menyokong kami,” katanya, semalam.

Sementara itu, Pengurus Besar Malaysia Viuclip, Kingsley Warner berkata, kerjasama ini menyaksikan pandangan bahawa kewujudan OTT mahu mencabar industri TV sebagai satu salah faham yang biasa didengari.

Sebaliknya, katanya, pihaknya melihat sinergi sebenar di antara penonton digital dan TV linear di Malaysia.

“Kerjasama seumpama ini adalah sesuatu yang tidak mustahil hari ini kerana Malaysia mempunyai populasi yang mempunyai hubungan digital tinggi termasuk pengguna ramai dalam perkhidmatan TV tidak berbayar.

“Kami amat hargai kerjasama dengan MPTN, peneraju penyiaran di Malaysia yang akan meraih manfaat daripada Viu yang membawa format antarabangsa dan drama premium Melayu kepada penontonnya tahun ini,” katanya.

Disiarkan pada: July 20, 2018 @ 11:33am
d