bisnes

Mohon biaya sembilan pesawat

Oleh Reuters

Kuala Lumpur: Malaysia Airlines Bhd (MAB) memohon kepada beberapa bank untuk membiayai sembilan pesawat Boeing 737 MAX, permohonan pembiayaan pertama syarikat penerbangan nasional itu selepas penyusunan semulanya tiga tahun lalu.

Menurut sumber, pembiayaan itu dilihat sebagai percubaan utama syarikat penerbangan itu meningkatkan lagi operasinya selepas diambil alih Khazanah Nasional pada Disember 2014 beberapa bulan selepas insiden MH17 dan kehilangan MH370.

Sumber industri kewangan pula berkata, beberapa bank dari Malaysia, Eropah dan China dijangka bersaing untuk pembiayaan itu selepas MAB menghantar permohonan cadangan beberapa minggu lalu.

Pesawat itu dikatakan berharga sekitar AS$1 bilion, tetapi syarikat penerbangan kebiasaannya menerima potongan harga yang banyak dari pengeluar.

MAB pada Selasa lalu berkata, pihaknya mempertimbangkan pelbagai pilihan pendanaan dan pajakan bagi pesanan 737 MAX yang bertujuan bagi menggantikan pajakan pesawat 737, namun enggan memberi butiran yang lebih khusus.

Walaupun persekitaran pembiayaan penerbangan kekal kukuh, sumber mengatakan prestasi operasi MAB yang buruk dan potongan pembiayaan dari bank dan pemberi pajakan ke atas pajakan kewangan serta operasinya semasa penstrukturan semula syarikat penerbangan itu boleh membuat beberapa bank berhati-hati dengan perjanjian pembiayaan dengan MAB.

Bank juga mungkin berpandukan kepada proses pemulihan selepas pemberhentian pekerja, pertukaran kepimpinan serta pelarasan laluan yang dilakukan sebagai sebahagian daripada pelan pemulihan lima tahunnya.

Disiarkan pada: July 25, 2018 @ 1:16pm
d