bisnes

Pelan perluasan

Oleh Sofyan Rizal Ishak

Kuala Lumpur: Boost, aplikasi dompet elektronik (e-dompet) tempatan yang dibangunkan Axiata Digital menjalinkan kerjasama dengan jenama pembayaran UnionPay bagi mengembangkan kehadiran rakan niaganya di Malaysia dan luar negara.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Christopher Tiffin berkata, kerjasama dengan UnionPay adalah sebahagian daripada pelan perluasan Boost di peringkat serantau.

Menurutnya, kerjasama itu juga membolehkan syarikat mewujudkan hubungan antara rakan niaga dan pelanggan di dalam dan luar negara dengan memanfaatkan kehadiran antarabangsa UnionPay.

“Kami teruja dengan kerjasama ini dan ia adalah satu lagi pencapaian dalam meluaskan fungsi dan kegunaan Boost bagi menyediakan lebih banyak pengalaman kepada rakan dan pelanggan,” katanya pada majlis menandatangani perjanjian kerjasama antara kedua-dua pihak, semalam.

Boost adalah peneraju aplikasi e-dompet di mana ia kini memiliki lebih 2.7 juta pengguna dengan rakan niaga dalam talian dan luar talian di lebih 30,000 titik jualan.

Beliau berkata, pelan jangka panjang Boost adalah untuk membolehkan pengguna aplikasi itu memanfaatkan tawaran UnionPay bagi melakukan transaksi global dan pengguna luar negara melakukan perkara sama di negara ini.

“Kami juga akan bekerjasama untuk meningkatkan lagi usaha pemasaran bagi mempromosikan perkhidmatan dan mempercepatkan pelan pendidikan dan perluasan kami,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Besar UnionPay International, (UPI) Asia Tenggara, Wenhui Yang berkata, kerjasama dengan Boost itu selari dengan strategi syarikatnya untuk melaksanakan perniagaan dengan ciri tempatan bagi memenuhi keperluan pembayaran untuk pengguna dan perniagaan di Malaysia.

“Kami berbesar hati dengan kerjasama ini dan ia membantu dalam melaksanakan perniagaan kami ke dalam persekitaran tanpa tunai bagi menyediakan kemudahan pembayaran yang lebih selesa, selamat dan tanpa batasan untuk pengguna,” katanya.

UPI melalui jenama UnionPay adalah satu jenama pembayaran global yang berkembang pantas dan berfungsi sebagai pangkalan kad terbesar di dunia serta menjalinkan kerjasama dengan lebih 1,800 institusi seluruh dunia.

Disiarkan pada: July 26, 2018 @ 11:57am
d