bisnes

Tak terkesan SST

Oleh Nurhayati Abllah dan Ayisy Yusof

Petaling Jaya: Malaysia Airlines Bhd (MAB) menjangkakan penumpang penerbangan tidak akan terkesan selepas pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) bermula 1 September ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya Kapten Izham Ismail berkata, pihaknya masih menunggu perkembangan dan panduan seterusnya daripada Jabatan Kastam Diraja Malaysia berhubung pelaksanaan sistem cukai berkenaan sebelum mengambil tindakan selanjutnya.

“Terdapat dua bahagian dalam rejim cukai berkenaan (SST) yang termasuk perkhidmatan dan produk. Kami belum membuat sebarang keputusan dan sekarang ini masih menunggu panduan daripada kastam.

“Akan ada lebih banyak konfigurasi yang diperlukan bagi syarikat penerbangan dalam menentukan sistem harga tiket,” katanya selepas Majlis Perjanjian Penerbangan Sewa Khas Sesi 2018-2019 antara G4#KAER MHX dengan Malaysia Airlines di sini, semalam.

Hadir sama ialah Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Kamarudin Jaafar.

Malaysia Airlines menandatangani perjanjian sewa khas umrah bersama gabungan empat syarikat pengendali umrah atau dikenali dengan Gabungan 4 KAER, sekali gus menjadi perjanjian sewa khas umrah terbesar bagi syarikat penerbangan itu setakat ini.

Empat syarikat berkenaan terdiri daripada KRS Travel Sdn Bhd (KRS), ATS Global Travel & Charterer (ATS) Sdn Bhd, Eco Riths Leisure Travel & Tour Sdn Bhd (Ecoriths) dan Rayhar Travels Sdn Bhd (Rayhar).

Sementara itu, mengulas laporan mengenai permohonan pembiayaan Malaysia Airlines bagi pembelian sembilan pesawat Boeing 737 MAX, Izham berkata, pihaknya meneliti pilihan pembiayaan yang ada.

Beliau yang tidak menafikan atau mengesahkan kesahihan laporan berkenaan berkata, langkah berkenaan adalah sebahagian daripada usaha syarikatnya untuk membuat pemilihan bagi mendapatkan pembiayaan itu.

“Ini adalah amalan biasa bagi perniagaan untuk meneliti pilihan yang ada, sama ada mahu membiayainya sendiri atau mendapatkan pembiayaan lain,” katanya.

Disiarkan pada: July 26, 2018 @ 3:00pm
d