bisnes

Ahmad Nizam dilantik Pengerusi PETRONAS

Oleh Alzahrin Alias

KERAJAAN mengumumkan pelantikan Datuk Ahmad Nizam Salleh sebagai Pengerusi PETRONAS yang baharu berkuat kuasa serta merta.

Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan berkata, Ahmad Nizam berpengalaman di dalam industri minyak dan gas selama 37 tahun.

Beliau pernah berkhidmat dan menyandang pelbagai jawatan sepanjang kerjayanya di PETRONAS.

“Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin kekal sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan,” kata kenyataan itu, semalam.

Pelantikan Ahmad Nizam sekali gus menamatkan spekulasi pengganti Tan Sri Sidek Hassan yang tamat kontrak sebagai Pengerusi pada 30 Jun lalu.

Sebelum dilantik Pengerusi PETRONAS, Ahmad Nizam menyandang jawatan sebagai Pengurus Besar Kanan Bahagian Perbendaharaan PETRONAS.

Sebelum itu, beliau juga dipertanggungjawabkan sebagai Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia LNG Sdn Bhd.

Disiarkan pada: August 1, 2018 @ 7:18pm
d