bisnes

RM25 juta bangun wanita dalam industri

Oleh Tuty Haryanti Ahmad Rodzi

Seremban: Majlis Amanah Rakyat (MARA) memperuntukkan RM25 juta kepada usahawan wanita tahun ini sebagai usaha membangunkan golongan itu dalam pelbagai industri, khususnya di luar bandar.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Rina Harun berkata, daripada jumlah itu, RM20 juta adalah untuk modal kewangan menerusi program pembiayaan DanaNITA yang dapat memberi manfaat kepada 400 usahawan wanita.

Sebanyak RM5 juta pula, katanya, diperuntukkan bagi melaksanakan program latihan dan bimbingan keusahawanan kepada 5,000 usahawan wanita dalam pelbagai bidang.

“Sehingga Julai lalu, 139 usahawan wanita di negara ini memanfaatkan DanaNITA dengan jumlah pinjaman RM4.7 juta.

“Usaha untuk memperkenalkan Skim Pembiayaan Khas untuk golongan wanita itu kini diperluaskan lagi menerusi siri jelajah Program Wanita Inspirasi Ekonomi (WISE) di beberapa lokasi terpilih,” katanya selepas merasmikan Program WISE di sini, semalam.

Rina berkata, tahun lalu ketika pertama kali DanaNITA diperkenalkan, MARA memperuntukkan RM10 juta pembiayaan termasuk untuk latihan keusahawanan.

Katanya, berdasarkan kepada pencapaian usahawan yang terbabit dengan pembiayaan itu, tahun ini MARA menggandakan peruntukan itu supaya lebih ramai berpeluang menikmatinya.

“Saya berharap Program WISE ini dapat menjadi antara platform kepada usahawan wanita untuk mendapatkan pelbagai maklumat yang diperlukan termasuk mengenai pembiayaan dan kemahiran terkini dalam bidang keusahawan,” katanya.

Disiarkan pada: August 2, 2018 @ 10:24am
d