bisnes

Kuasai 49.4% pasaran jualan

Oleh Alzahrin Alias

Petaling Jaya: Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (PERODUA) mencatatkan rekod jualan tertinggi setengah tahun apabila menjual 117,100 unit kereta antara Januari hingga Jun tahun ini, meningkat 17.5 peratus berbanding 99,700 unit tahun lalu.

Berikutan prestasi itu, PERODUA mengekalkan sasaran jualan sebanyak 209,000 unit tahun ini.

Presiden yang juga Ketua Pegawai Eksekutif PERODUA, Datuk Dr Aminar Rashid Salleh berkata, rekod jualan itu sekali gus membolehkan pihaknya menguasai 49.4 peratus pasaran jualan keseluruhan industri (TIV) yang turut menjadi rekod baru kepada pengeluar kereta itu.

Beliau berkata, PERODUA juga menambah jumlah pengeluaran kenderaannya kepada 109,000 unit antara Januari dan Jun tahun ini, peningkatan sebanyak 10 peratus berbanding 99,000 unit pada tempoh sama tahun lalu.

PERODUA juga, katanya, mengekalkan sasaran pengeluaran 215,300 unit kenderaan, peningkatan 7.5 peratus berbanding 200,100 unit, tahun lalu.

“Namun di sebalik kejayaan itu, kami di PERODUA tetap bersiap sedia menghadapi cabaran pada separuh kedua tahun ini. Ini kerana pertumbuhan separuh kedua dijangka mencabar dengan jangkaan penurunan ringgit ke paras RM3.95 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hujung tahun ini, kadar dasar semalaman (OPR) pada 3.25 peratus dan purata minyak mentah antara AS$75 hingga AS$80 setong.

“Selain itu, pasaran automotif juga berdepan persaingan sengit dan pertumbuhan TIV yang perlahan menyebabkan jangkaan penguasaan pasaran PERODUA akhir tahun ini sebanyak 35 peratus,” katanya pada majlis pengumuman prestasi PERODUA separuh pertama 2018 di sini, semalam.

Dalam pada itu, Aminar Rashid berkata, PERODUA tidak menolak kemungkinan peningkatan harga kenderaan dengan pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) oleh kerajaan, bulan depan.

Namun, katanya, masih terlalu awal untuk membuat sebarang spekulasi mengenai harga kerana Jabatan Kastam Diraja Malaysia (Kastam) masih menjalankan perbincangan dengan pemain industri automotif negara termasuk PERODUA.

“Kami juga masih menanti butiran lanjut dan hala tuju pelaksanaan semula SST. Kastam juga mahu mendengar pandangan daripada semua pihak termasuk kami.

“Terdapat beberapa kemungkinan mengenai perkara ini. Mungkin akan ada mekanisme yang boleh membuatkan harga kenderaan nasional turun, kita tidak tahu perkara ini.

“Kemungkinan kedua adalah kerajaan akan menyerap sebahagian daripada SST itu. Namun perlu diperhalusi berapa besar yang perlu diserap kerana margin kami sangat kecil, jadi perlu lihat terlebih dahulu angka yang bersesuaian,” katanya.

Disiarkan pada: August 3, 2018 @ 10:00am
d