bisnes

Penjimatan hebat

Oleh Alzahrin Alias

Kuala Lumpur: UEM Sunrise Bhd menawarkan penjimatan besar kepada pembeli bagi 300 unit rumah di tujuh projeknya yang terletak di Cyberjaya dan Johor Bahru.

Projek itu adalah Teega Puteri Harbour, Almaya Puteri Harbour, Estuari Gardens Puteri Harbour, Residensi Ledang Puteri Harbour dan Bayu Angkasa di Iskandar Puteri dan Verdi Eco-dominiums dan Symphony Hills di Cyberjaya.

Hartanah ini ditawarkan dengan penjimatan hebat pada harga bermula dari RM293,000.

Pelanggan yang berpotensi akan dapat menikmati hadiah percuma dan memiliki rumah impian mereka dengan bayaran pendahuluan serendah RM1,000 untuk Bayu Angkasa, RM5,000 untuk Verdi dan Symphony Hills dan RM10,000 untuk Estuari Gardens, Residensi Ledang, Teega Pelabuhan Puteri dan Almaya Puteri Harbour.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Anwar Syahrin Abdul Ajib berkata, syarikat percaya pembeli akan mendapat manfaat kerana mereka dapat menikmati nilai dan simpanan yang besar memandangkan hartanah berkenaan terletak di lokasi strategik dan mempunyai sambungan perhubungan yang baik.

“UEM Sunrise yakin hartanah ini akan mampu terjual, sekali gus menyumbang kepada sasaran jualan tahunan kumpulan,” katanya selepas taklimat media di sini, semalam.

Anwar Syahrin berkata, jualan hartanahnya juga banyak disokong penjualan rumah mampu miliknya berharga di antara RM300,000 dan RM500,000.

Beliau berkata, penjualan rumah mampu milik itu bergantung kepada sektor dan kawasan jualan selain program rumah mampu milik seiring aspirasi kerajaan.

Katanya, 20 peratus hartanahnya adalah bagi rumah di antara RM300,000 dan bagi rumah di antara RM500,000 ke atas, jumlahnya adalah seimbang.

“UEM Sunrise juga menyokong hasrat kerajaan untuk membina lebih banyak projek rumah mampu milik untuk faedah rakyat,” katanya.

Dalam pada itu, Anwar Syahrin berkata, UEM Sunrise berada di landasan tepat bagi mencapai sasaran jualan RM1.2 bilion tahun ini, disokong oleh sentimen belian yang lebih baik di pasaran hartanah.

Beliau berkata, syarikat mencatatkan peningkatan jualan pada separuh pertama tahun ini yang sebahagiannya disumbangkan peningkatan selepas Pilihan Raya Umum ke-14.

Katanya setakat ini kumpulan mencapai 60 hingga 70 peratus sasaran jualan selain bakal melancarkan lebih banyak projek hartanah baru pada suku ketiga dan keempat 2018.

“Masih terlalu awal untuk mengetahui sama ada UEM Sunrise melepasi titik terendah dalam kitaran hartanah, jadi kami mengekalkan sasaran jualan pada RM1.2 bilion buat masa sekarang,” katanya.

Disiarkan pada: August 4, 2018 @ 3:01am
d