bisnes

Semak struktur

Oleh Nabil Basaruddin

Kuala Lumpur: Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN Nasional) sedia untuk menyemak kembali strukturnya sebagai agensi pembiayaan program usahawan sebagai usaha untuk mempertingkatkan penyertaan usahawan yang diterajui oleh Kementerian Pembangunan Usahawan (KPUN).

Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Baharom Embi, berkata pihaknya akan mengikuti segala rentak dan mandat yang diberikan supaya selari dengan fungsi KPUN yang akan memberi tumpuan kepada keusahawanan.

“Pihak kementerian dan Menteri KPUN, Mohd Redzuan Md Yusof berpuas hati dengan prestasi Tekun Nasional dan kami menunggu arahan dari kementerian dalam melaksanakan segala program secara khusus dalam sektor usahawan.

“Apa yang penting adalah untuk memperkemaskan struktur serta melaksanakan mandat yang akan diberikan kemudiannya,” katanya ketika ditemui selepas selesai taklimat dan lawatan oleh Menteri KPUN dan Timbalannya di ibu pejabat Tekun Nasional di sini, baru-baru ini.

Tekun Nasional dahulunya di kenali sebagai Yayasan Tekun Nasional adalah agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MECD) yang diwujudkan pada 9 November 1998.

Matlamat penubuhannya adalah untuk menyediakan kemudahan pembiayaan secara mudah dan cepat kepada Bumiputera untuk memula dan memajukan lagi perniagaan mereka.

Selepas MECD di bubarkan pada 2009, fungsinya diagihkan dan berada di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

Sementara itu, mengulas mengenai kadar faedah yang dikenakan kepada para peminjamnya, Baharom berkata, agensi pembiayaan usahawan itu menawarkan empat peratus faedah yang dilihat antara paling rendah dalam kadar industri.

“Malah, mengenai hutang lapuk yang mencecah hampir RM500 juta itu, kita tidak mempunyai tempoh yang ditetapkan dan terus menerima pembayaran balik setiap bulan dari peminjam sekitar RM1.2 hingga RM1.5 juta.

“Ia sebenarnya membantu kita dalam menguruskan operasi dan menjadi pendapatan kembali kepada Tekun Nasional,” katanya.

Tekun Nasional mempunyai 15 pejabat di seluruh negara yang dapat memberi khidmat nasihat mengenai skim pembiayaan yang ditawarkannya seperti Tekun Niaga, Teman Tekun, Program Temannita, Ar-Rahnu, Kontrak-i dan Skim Pembangunan Usahawan Masyarakat India (SPUMI).

Selain itu, agensi berkenaan juga menyalurkan pembiayaan sehingga RM5 bilion kepada 402,842 usahawan sepanjang 20 tahun beroperasi sejak dari 1998.

Disiarkan pada: August 6, 2018 @ 11:20am
d