bisnes

Gabung KWSP, PERKESO

Oleh Nabil Basaruddin

Kuala Lumpur: Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) menyerahkan keputusan sepenuhnya kepada kerajaan mengenai cadangan untuk menggabungkan agensi itu dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Ketua Pegawai Eksekutif PERKESO, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, usaha berkenaan adalah bergantung kepada kerajaan memandangkan perkara itu membabitkan dasar dan perundangan negara.

“Saya tidak boleh memberikan komen mengenai cadangan itu kerana ia hanya boleh ditentukan sepenuhnya oleh kerajaan.

“Sebarang keputusan dibuat memerlukan pembabitan dasar serta perundangan dan dalam hal itu, ia perlu diserahkan kepada pihak kerajaan.

“Jadi saya tidak boleh memberikan sebarang maklum balas mengenai hal itu,” katanya ketika ditemui selepas pertemuan bersama Majlis Penasihat Kerajaan (MPK) di sini, semalam.

Dalam temu bual bersama The Malaysian Reserve Julai lalu, Menteri Sumber Manusia M Kulasegaran berkata, kerajaan mempertimbang untuk menggabungkan KWSP dan PERKESO bagi mewujudkan entiti tunggal dalam memantau kebajikan pekerja di Malaysia.

Kulasegaran berkata, kementeriannya menyediakan kertas cadangan kepada Kabinet sama ada dua institusi itu boleh dijadikan sebagai satu entiti dan beroperasi di bawah satu ‘payung’.

Ketika ini, KWSP dan PERKESO secara berasingan mengutip sumbangan caruman bulanan daripada pekerja dan meningkatkan nilai wang berkenaan serta membayar kembali kepada pekerja sama ada dalam bentuk pengeluaran, dividen atau manfaat lain.

Setakat tahun lalu, KWSP mengurus dana berjumlah RM800 bilion, manakala PERKESO mencatatkan dana RM26 bilion.

Penggabungan dua agensi itu dilihat mampu mewujudkan saiz dana lebih besar dan menjana pulangan lebih tinggi serta mampu memberikan penyelesaian lengkap kepada pekerja.

PERKESO ditubuhkan di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 dan diamanahkan untuk menguruskan beberapa skim perlindungan keselamatan sosial seperti melindungi pekerja daripada perkara luar jangka dan kematian serta Sistem Insurans Pekerja (SIP) yang baru ditubuhkan.

Sementara itu, KWSP juga adalah institusi keselamatan sosial yang ditubuhkan di bawah Akta Kumpulan Wang Simpanan Pekerja 1991 (Akta 452) yang menyediakan faedah persaraan kepada ahlinya melalui pengurusan simpanan secara cekap dan dipercayai.

Disiarkan pada: August 7, 2018 @ 1:52pm
d