bisnes

11street fokus lapan bidang utama

Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: 11street komited mengukuhkan pasarannya di negara ini menerusi revolusi baru yang fokus kepada lapan bidang utama membabitkan pengalaman pengguna.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Cheong Chia Chou berkata, antara fokus utama 11street termasuk aplikasi mudah alih, gedung rasmi, logistik, pilihan pembayaran, dagangan global dan pengaruh sosial mikro.

Katanya, pasaran dalam talian di Malaysia dijangka berkembang pada kadar yang pantas dan penampilan baharu 11street mengulangi komitmen kumpulan untuk terus menyumbang terhadap segmen digital.

“Kami mencapai pertumbuhan 300 peratus dalam nilai dagangan kasar (GMV) dari 2015 hingga 2017 dan kami yakin untuk mengekalkan pertumbuhan terbabit.

“Kami tidak sabar untuk melangkah ke fasa pertumbuhan dan transformasi yang seterusnya kerana kami memberi tumpuan dalam menyediakan lebih banyak manfaat berterusan kepada pelanggan dan peniaga yang terbabit.

“Kami mahu pelanggan menikmati pengalaman membeli-belah yang terbaik dan membuat pembelian daripada pedagang yang efisien serta boleh dipercayai,” katanya pada taklimat media di sini, semalam.

Sementara itu, 11street memulakan fasa baru menerusi pelancaran kempen Sayangi Malaysia yang menyediakan tawaran eksklusif dan hadiah menarik dari 6 Ogos hingga 30 September ini.

Disiarkan pada: August 8, 2018 @ 2:05pm
d