bisnes

119 cadangan industri

Oleh Nurhayati Abllah

Putrajaya: Mengenakan duti import lebih tinggi ke atas produk getah tertentu antara 119 cadangan dikemukakan peserta industri kepada Kementerian Industri Utama untuk dipertimbangkan dalam pembentangan Bajet 2019 yang dijadualkan November depan.

Menterinya, Teresa Kok Suh Sim berkata, duti import tinggi sama seperti dikenakan ke atas minyak sayuran sebagai usaha untuk terus memastikan industri komoditi tempatan mampu menghadapi cabaran semasa termasuk lebihan pengeluaran.

Beliau berkata, selain duti import berkenaan, turut dikemukakan ialah kos sara hidup terutama dalam kalangan pekebun kecil getah, tenaga buruh, elaun modal lebih tinggi bagi automasi dan subsidi bagi biodiesel.

“Kementerian menerima pelbagai cadangan daripada peserta industri hasil daripada pertemuan diadakan secara berperingkat.

“Banyak cadangan yang boleh dilaksanakan, namun ia memerlukan pembabitan semua pihak dan kementerian sebelum pelaksanaannya dapat dipertimbangkan,” katanya pada sidang media selepas mengadakan Sesi Konsultasi Bajet 2019 antara Kementerian Industri Utama bersama wakil industri di sini, semalam.

Sesi berkenaan disertai 180 wakil industri adalah platform interaksi yang diwujudkan selaras dengan prinsip ‘pembabitan awam’ bagi mendengar serta mendapatkan pandangan dan cadangan pihak industri sebagai input kepada Bajet 2019 nanti.

Menerusi sesi pertemuan itu, Kok berkata, wakil industri juga belum mencapai kata sepakat mengenai penggunaan adunan biodiesel sawit B20 dan ia masih lagi di peringkat perbincangan.

“Masih wujud lagi kesangsian dalam kalangan mereka terutama membabitkan sektor pengangkutan mengenai penggunaan B20. Jadi, banyak langkah perlu diambil.

“Masih ada lagi masalah ‘halangan mental’ meskipun Indonesia merancang melaksana serta menguatkuasakan B20 hingga B30,” katanya.

Mengulas mengenai harapan Bajet 2019, beliau berkata, kerajaan meletakkan harapan lebih tinggi daripada tahun lalu.

Selain itu katanya, kementerian juga berusaha meneroka pasaran sawit baharu menerusi kerjasama dengan beberapa negara luar berpotensi.

“Negara berkenaan antaranya Filipina, Iran, Turki dan Afrika Barat. Pada masa sama, kita terus mengekalkan kerjasama daripada negara sedia ada iaitu pembeli minyak sawit utama negara ini,” katanya yang turut menambah usaha itu dilakukan susulan larangan penggunaan minyak sawit oleh Kesatuan Eropah (EU).

Terdahulu, dalam ucapannya, Kok berkata, berdasarkan trend pencapaian terdahulu, beliau yakin sektor industri utama masih kekal relevan dan diperlukan untuk terus menyumbang kepada penjanaan hasil pendapatan negara secara signifikan serta berupaya membantu memulihkan ekonomi negara pada masa ini.

“Menjelang akhir tempoh Rancangan Malaysia ke-11 (RMK-11) pada 2020, pendapatan eksport produk industri utama disasarkan berjumlah RM146 bilion termasuk sektor sawit menyumbang RM83.3 bilion manakala getah disasarkan menyumbang RM28.7 bilion,” katanya.

Disiarkan pada: August 8, 2018 @ 2:07pm
d