bisnes

AmInvest perkenal dana robotik

Oleh Alzahrin Alias

AMINVEST, pengurus dana konvensional dan patuh syariah bagi AmInvestment Bank Bhd melancarkan Robotech Fund, dana sokongan robotik pertama seumpamanya di Malaysia.

Ia akan melabur di dalam AXA World Funds-Framlington Robotech, bagi mendapat pendedahan syarikat pertumbuhan yang terbabit dalam sektor robotik dan teknologi berkaitan robotik di seluruh dunia.

Pegangan dana itu adalah pelbagai merangkumi semua aplikasi penting yang dimainkan oleh teknologi robotik termasuk automasi industri, pengangkutan, penjagaan kesihatan dan pembuatan.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif AmInvest, Goh Wee Peng berkata, dana itu adalah dana borong, yang menawarkan peningkatan modal dalam pelaburan jangka panjang dan kepelbagaian portfolio melalui pendedahan dalam pasaran ekuiti global.

“Kami sangat memberikan peluang ini kepada pelabur bagi memanfaatkan revolusi robotik global dalam ruang yang belum diteroka sepenuhnya.

“Pasaran teknologi dan robotik dijangka berkembang 10 hingga 15 peratus setiap tahun sehingga 2025, yang membolehkan dana ini dilancarkan.

“AmInvest mempunyai sejarah dan rekod yang panjang dalam menyediakan dana ekuiti inovatif dan pertama ke pasaran seperti AmAsia Pacific REITs, AmASEAN Equity, Precious Metal Securities dan AmSchroders European Equity Alpha,” katanya dalam satu kenyataan.

Wee Peng berkata, dana yang disasarkan adalah AXA World-Framlington Robotech Fund, yang diuruskan oleh AXA Investment Managers UK Limited.

Beliau berkata, dana sasaran memilih sekitar 50 syarikat membangun membina portfolio global di pelbagai pasaran dan sektor.

Portfolio dana sasaran, katanya menawarkan pelabur akses kepada syarikat robotik global dengan pendedahan kepada automasi industri, kenderaan tanpa pemandu, pembedahan dibantu robotik dan artificial intelligence.

“Sehingga akhir Jun 2018, saham utama dana sasaran termasuk Amazon, Alphabet, Apple, Siemens dan Infineon Technologies.

“Mata wang asas dana ini adalah dalam dolar Amerika Syarikat (AS) dan turut menawarkan langganan dalam ringgit dengan pelaburan minimum awal sebanyak RM5,000 atau AS$5,000.

“Pelabur boleh melanggan dana pada harga tawaran RM1 atau AS$1 seunit semasa tempoh tawaran awal sehingga 28 Ogos 2018,” katanya.

Disiarkan pada: August 8, 2018 @ 8:55pm
d