bisnes

Mudah urusan ambil pelanggan

Oleh HM Digital

Kuala Lumpur: Grab Malaysia memperkenalkan ciri perkongsian foto di GrabChat iaitu aplikasi perkhidmatan e-panggilan pertama di rantau ini bagi mengurangkan kadar pembatalan tempahan membabitkan pemandu dan penumpang Grab.

Menurut syarikat itu, ciri terbabit akan memudahkan lagi pemandu Grab mengesan kedudukan pelanggan melalui gambar lokasi menunggu yang diambil oleh pelanggan masing-masing .

Ia juga akan memberi peluang kepada mereka untuk menurunkan lagi pembatalan jumlah tempahan dan menjadikan pengalaman dalam mengambil penumpang lebih selesa bagi penumpang dan pemandu Grab.

“Grab akan menggunakan semua foto terbabit untuk memperkayakan dan membawa lebih banyak ketepatan untuk Point-of-Interest (POI-titik hijau) yang ditetapkan pada masa depan dan ia penting kerana jalan di Malaysia rumit dan lokasi menunggu tidak semudah di hadapan pusat beli-belah.

“Melalui foto itu, kami juga berupaya untuk lebih memahami lokasi mana yang menggelirukan, kenapa dan bagaimana untuk meningkatkannya,” katanya pada satu kenyataan di sini, semalam.

Grab Malaysia berkata, selepas ini pihaknya turut merancang untuk membolehkan pemandu berkongsi foto dengan penumpang bagi mengurangkan pembatalan dan menjimatkan masa untuk mencari perjalanan mereka pada tahun ini

“Pada satu hari, GrabChat dan perkongsian foto mungkin boleh diwujudkan dalam perkhidmatan Grab yang lain dan sebagai pelanggan, ini akan membolehkan anda untuk berkongsi foto makanan kesukaan supaya pemandu anda dapat menghantar anda dengan cepat bagi menikmati makanan segar dan hangat,” katanya.

GrabChat diperkenalkan pada 2017 bertujuan mengatasi masalah berkaitan pembatalan tempahan di mana ciri sembang dalam aplikasi itu membolehkan pemandu dan penumpang menghantar mesej secara langsung bagi memudahkan pencarian lokasi terbaik untuk mengambil penumpang.

Pada hari ini, 56 peratus tempahan di Malaysia dilakukan melalui GrabChat di mana ia berjaya mengurangkan kadar pembatalan tempahan yang penurunan sehingga 50 peratus di rantau Asia Tenggara.

Disiarkan pada: August 13, 2018 @ 10:35am
d