bisnes

KWSP tambah hartanah lagi

Oleh Kamarulzaidi Kamis

Kuala Lumpur: Setelah membeli tiga pusat logistik di Jerman pada bulan lalu, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) terus mengembang pelaburannya dalam sektor hartanah di rantau Eropah Tengah dan Timur (CEE).

Terbaru, pengurus dana persaraan itu melabur lebih euro 200 juta (RM942.25 juta) untuk mengambil alih dua bangunan iaitu blok C dan D, Gdanski Business Center di Warsaw, Poland.

Sumber berkata, dua bangunan itu dibeli sayap pelaburan hartanahnya di Eropah, Kwasa Europe menerusi ejen hartanah terkemuka Savills Investment Management (Savills IM).

“Pembelian blok C dan D itu melengkapkan pemilikan KWSP ke atas Gdanski Business Center kerana sebelum ini ia sudah memiliki dua blok lain iaitu A dan B daripada pemaju dari Slovakia, HB Reavis,” katanya.

Sementara itu, HB Reavis dalam satu kenyataan menerusi laman webnya, mengesahkan ia berjaya menjual dua bangunan pejabat di Warsaw kepada Savills IM yang mewakili pelanggannya iaitu sebuah dana persaraan global.

Katanya, kedua-dua bangunan yang berkeluasan 53,000 meter persegi itu siap dibina pada 2016 dan disewa sepenuhnya beberapa penyewa iaitu Aviva Group, KPMG, Nielsen, Euronet, BGŻ BNP Paribas, GE dan Court of Appeals.

“Dua blok awal berkeluasan 48,000 meter persegi, daripada empat bangunan pejabat itu juga sudah dijual pada Disember 2016 pada harga euro 186 juta kepada Savills IM yang mewakili pelanggan sama.

“Urus niaga terbaru (blok C dan D) adalah satu lagi petanda aliran pelaburan besar ke Poland, negara yang mencatat kemasukan pelaburan hampir euro 1 bilion dalam tempoh dua tahun lalu,” kata kenyataan itu.

Gdanski Business Center memiliki keunikan dari segi kemudahan yang disediakan serta lokasinya.

Ia juga menawarkan kadar pajakan yang kompetatif dan terbukti menarik perhatian firma terkemuka global untuk menyewa.

Disiarkan pada: August 13, 2018 @ 10:58am
d