bisnes

Pikat jutawan Islam

Oleh Hazwan Faisal Mohamad

Kuala Lumpur: Bank Muamalat Malaysia Bhd menyasarkan untuk menarik 250 pelanggan menyertai perbankan premier Islamiknya yang baru, Muamalat Beyond menjelang tahun kewangan berakhir Mac tahun depan.

Segmen perbankan yang julung kali ditawarkan Bank Muamalat yang juga institusi kewangan Islamik tempatan sepenuhnya itu menyasar untuk mengumpul deposit RM40 juta sehingga akhir Mac 2019.

Naib Presiden/Ketua Pengurusan Kekayaan dan Perbankan Mewahnya, Sarimah Bashah berkata, sejak diperkenalkan 15 Mei lalu, pelanggan Muamalat Beyond mencecah 25 orang dengan RM10.9 juta.

Katanya, jumlah golongan berada dalam kalangan orang Islam yang semakin meningkat kini adalah tumpuan utama perkhidmatan perbankan premier itu.

Menurutnya, pihaknya turut menyasarkan pelanggan lain termasuk bukan Islam yang mahukan perkhidmatan kewangan beretika yang ditawarkan bank itu.

“Buat masa ini, tiada perancangan membuka cawangan baru dalam masa terdekat kerana cawangan pertama ini baru saja dibuka,” katanya selepas majlis pelancaran perkhidmatan perbankan premier di sini, semalam.

Pelancaran Perbankan Premier Muamalat Beyond disempurnakan Pengerusinya, Tan Sri Dr Mohd Munir Abdul Majid bersama selebriti terkenal, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin.

Mengulas lanjut Sarimah berkata, Muamalat Beyond dijangka menyumbang 22 peratus kepada pendapatan bersih segmen pengurusan kekayaaan bank itu secara keseluruhan bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2019.

Terdahulu, Mohd Munir berkata, penubuhan perbankan premier Islamik pertama Bank Muamalat dilaksanakan selepas melihat trend peningkatan bilangan jutawan di Malaysia termasuk dalam kalangan orang Islam.

Menurut Laporan Kekayaan Knight Frank 2017, jumlah rakyat Malaysia yang memiliki kekayaan lebih AS$1 juta meningkat hampir sekali ganda dari 2006 hingga 2016 kepada 43,000 orang dengan separuh daripadanya tinggal di Kuala Lumpur, katanya.

“Selain itu, menurut kajian itu lagi, jumlah jutawan ini diunjurkan meningkat kepada 73,000 orang menjelang 2026. Selain itu, ada kajian lain yang menunjukkan bilangan golongan berada yang mahukan penyelesaian kewangan yang patuh syariah dan beretika akan meningkat pada masa depan,” katanya.

Disiarkan pada: August 14, 2018 @ 10:34am
d