bisnes

Legasi siri Note

Oleh Nabil Basaruddin

Kuala Lumpur: Samsung Galaxy Note9, telefon pintar berkeupayaan tinggi dilancarkan di Malaysia dan orang ramai boleh mendapatkannya di gedung terpilih pada 24 Ogos ini.

Siri Note baru itu boleh didapati pada harga RM3,699 (128GB) dan RM4,599 (512GB) dengan tiga warna pilihan iaitu Midnight Black dan Metallic Copper dengan warna S Pen yang sepadan serta Ocean Blue dengan S Pen berwarna kuning.

Presiden Samsung Malaysia Electronics (SME), Kim Yoon Soo berkata, peranti terbaru itu menggabungkan kuasa, produktiviti, ketahanan serta ciri hiburan menjadikannya sebagai telefon pintar yang wajib dimiliki.

Beliau berkata, dengan pelancaran itu, Samsung terus mempamerkan legasi siri Note dengan keunggulan evolusi S Pen dan sistem Galaxy yang menawarkan pengalaman mudah alih secara premium.

Galaxy Note9 adalah model yang paling menonjol berbanding sebelum ini, malah ia dianggap sebagai kuasa besar dalam kalangan model lain bagi segmen telefon pintar.

“Lebih membanggakan, pratempahan selama lima hari bermula 10 Ogos menunjukkan prestasi luar biasa apabila ia habis ditempah dalam tempoh berkenaan.

“Perkara ini membuktikan, Galaxy Note9 adalah model yang mendapat perhatian pengguna seluruh dunia khususnya Malaysia,” katanya pada majlis pelancaran telefon pintar itu di sini, semalam.

Model baru itu mempunyai kelebihan tersendiri kerana ia mampu bertahan sepanjang hari meskipun digunakan secara terus kerana didatangkan bersama kapasiti bateri 4,000mAh iaitu terbesar dari siri Galaxy.

Kim berkata, siri Galaxy Note mempunyai peminat setianya yang tersendiri yang mahu melakukan pelbagai aktiviti dengannya, maka ia didatangkan dengan dua pilihan storan dalaman iaitu 128GB atau 512GB.

“Dengan kelebihan ruang bagi kad mikro SD, Galaxy Note 9 bersedia menyediakan ruang simpanan sehingga 1TB.

“Pengguna tidak perlu bimbang menggunakan telefon pintar ini secara berterusan kerana ia mempunyai sistem Water Carbon Cooling serta penyesuaian prestasi berteraskan kecerdasan buatan (AI),” katanya.

Selain itu, ia mempunyai paparan 6.4 inci Super AMOLED Infinity memberikan pengguna pengalaman multimedia luar biasa dan disertakan pembesar suara stereo yang menghasilkan audio Dolby Atmos.

Disiarkan pada: August 16, 2018 @ 10:56am
d