bisnes

Pelan pacu MSC 2.0

Oleh Manirajan Ramasamy dan Mahanum Abdul Aziz

Kuala Lumpur: Kerajaan akan memberi nafas baru kepada Koridor Raya Multimedia (MSC) dan Cyberjaya sejajar dengan perkembangan teknologi semasa.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan akan memberi lebih tumpuan dalam teknologi baru dan aplikasinya terutama bagi pentadbiran.

Beliau berkata, kerajaan akan menggalakkan penggunaan Cyberjaya untuk industri berkenaan.

“Cyberjaya ketika ini menjadi pembangunan biasa saja, banyak bangunan dan pangsapuri dan sebagainya. Tiada aplikasi (seperti sepatutnya).

“Bagaimanapun, kami mahu memberi tumpuan semula kepada industri berasaskan teknologi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan ucap utama di Persidangan dan Pameran Bandar Raya 4.0 dan Perniagaan 4.0 Antarabangsa di sini, semalam.

Ditanya sama ada gelombang kedua MSC, Dr Mahathir berkata: “Ya...saya rasa kita patut.”

Lagipun, katanya, pada masa ini orang ramai sudah mempunyai akses kepada pengetahuan dan teknologi baru.

Terdahulu, dalam ucaptamanya, Dr Mahathir menegaskan Malaysia mampu membangun dengan lebih pantas menerusi penggunaan teknologi dan pendigitalan.

Beliau berkata, generasi muda dilihat selesa dengan perkembangan baru itu dan menyesuaikan diri dengan pengetahuan teknologi dan pendigitalan.

“Dengan kemampuan untuk menyesuaikan pengetahuan dan menggunakan teknologi, saya yakin Malaysia akan maju dengan lebih pantas,” katanya.

Persidangan dan pameran tiga hari yang bertemakan Meningkatkan Bandar Raya Pintar dan Penggunaan Digital di Malaysia dan Rantau Ini itu bertujuan mendedahkan peserta dengan maklumat penting dan strategi bagi mengguna pakai transformasi digital dalam pelbagai aspek perancangan dan pembangunan bandar serta meningkatkan kecekapan dan perkhidmatan kepada rakyat.

Disiarkan pada: August 28, 2018 @ 12:59pm
d