bisnes

Dicuri untuk alat ganti, komponen

Oleh Alzahrin Alias

PERMINTAAN tinggi terhadap alat ganti, komponen serta aksesori terpakai Proton Wira, Proton Iswara dan Toyota Hilux adalah antara penyebab tiga model kenderaan persendirian berkenaan kekal menjadi sasaran utama pencuri kereta di Malaysia.

Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) dalam laporan separuh pertama 2018 berkata, kereta Proton adalah jenama kelas kenderaan persendirian yang paling banyak direkodkan membuat tuntutan kecurian iaitu sebanyak 654 unit.

Proton Wira mendahului senarai tuntutan kecurian pada separuh pertama 2018 sebanyak 250 unit, diikuti Proton Iswara (188), Toyota Hilux (183), Perodua Kancil (128), Perodua Myvi (111), Proton Saga (110), Proton Waja (69), Nissan Vannette (59), Honda Civic (56) dan Proton Satria (37).

Perunding dan Penyelaras Vehicle theft Reduction Council of Malaysia Bhd (VTREC), Mohd Yusof Idris berkata, jumlah tuntutan kecurian untuk kesemua kelas kenderaan mencatatkan penurunan sebanyak 31 peratus kepada 5,913 unit pada separuh pertama 2018 berbanding 8,560 unit pada tempoh sama tahun sebelumnya.

Yusof berkata, kelas kenderaan persendirian mencatatkan penurunan 31 peratus kepada 2,156 unit; motosikal jatuh 29 peratus kepada 3,475 unit manakala, kenderaan komersial susut 39 peratus kepada 282 berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.

“Bagi keseluruhan tuntutan insuran kenderaan membabitkan kes kemalangan, kerosakan dan kecurian, syarikat insurans membayar RM14.8 juta setiap hari pada Januari hingga Jun tahun ini dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM2.71 bilion.

“Angka itu meningkat satu peratus berbanding tempoh sama tahun lalu sebanyak RM2.68 bilion. Ia membimbangkan kerana syarikat insurans perlu membayar jumlah tinggi dan ia memerlukan lebih banyak inisiatif bagi memastikan kejadian seperti kecurian dapat dielakkan.

“Malaysia juga berada di kedudukan ketiga terburuk di ASEAN dalam kes tuntutan insurans kenderaan di belakang Thailand dan Vietnam,” katanya pada taklimat media mengenai prestasi sektor insurans am Malaysia di Kuala Lumpur, hari ini.

Disiarkan pada: August 30, 2018 @ 7:11pm
d