bisnes

Pendapatan digital, dagangan Media Prima lebih tinggi

Oleh Ahmad Fiesal Othman

MEDIA Prima Bhd mencatatkan keuntungan selepas cukai RM8.7 juta dalam tempoh enam bulan berakhir 30 Jun 2018 berbanding kerugian selepas cukai sebanyak RM179.7 juta pada tempoh sama tahun lalu.

Prestasi itu dicapai melalui peningkatan 3.7 peratus pendapatan kepada RM623.0 juta untuk tempoh kajian (1HFY2018) daripada RM601.0 juta yang dicatatkan pada tempoh sama sebelumnya, hasil pendapatan yang lebih tinggi dalam segmen digital dan dagangan.

Peneraju kumpulan media bersepadu Malaysia itu dalam kenyataannya berkata, antara pemangkin utama prestasi berkenaan termasuklah pelaburan yang lebih tinggi dalam kandungan digital, peningkatan pendapatan perdagangan melalui media bersepadu dan memaksimumkan nilai aset sedia ada.

“Media Prima merekodkan peningkatan dalam perolehan digital kepada RM44.8 juta untuk 1HFY18 berbanding RM14.9 juta dalam 1HFY17, dipacu oleh pendapatan pengiklanan digital di kesemua platform.

“Media Prima kini menduduki tempat ketiga dalam negara dari segi capaian digital dan menyasarkan sumbangan pendapatan digital akan meningkat kepada lapan peratus pada akhir tahun, berbanding sasaran sebanyak tiga peratus pada tahun 2017,” katanya.

Perolehan dagangan daripada perniagaan beli-belah daripada rumah milik Media Prima meningkat sebanyak 60.8 peratus kepada RM96.0 juta dari RM59.7 juta dalam 1HFY17.

Segmen itu terus menjana tarikan dengan jumlah pelanggan meningkat kepada 941,000 pembeli dalam 1HFY18 daripada 771,300 untuk tiga bulan pertama tahun ini.

Enam bulan pertama 2018 juga menyaksikan The New Straits Times Press (Malaysia) Bhd (NSTP) melupuskan 21.36 peratus kepentingannya dalam Malaysian Newsprint Industries Sdn Bhd (MNI) dengan nilai tunai berjumlah RM45.4 juta untuk terus memberi tumpuan kepada penghasilan kandungan digital.

Langkah itu membolehkan kumpulan mendapat kembali sebahagian daripada pelaburannya di MNI yang telah dikurangkan nilainya tahun lalu.

Pengerusi Kumpulan Media Prima, Datuk Mohd Nasir Ahmad berkata, keputusan kewangan itu menunjukkan bahawa kumpulan telah melaksanakan strategi transformasi yang tepat untuk memulihkan prestasi syarikat, di samping membendung impak cabaran yang memberi kesan kepada industri media global.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima, Datuk Kamal Khalid berkata, kumpulan sentiasa memberi keutamaan untuk memenuhi keperluan serta corak penggunaan media oleh penonton, dan itu membolehkannya mencatat hasil yang memberangsangkan melalui pendekatan platform agnostik dalam menyampaikan kandungan.

“Perolehan digital kumpulan telah berkembang pada kadar dua angka berbanding tahun lalu dan kami yakin pelbagai inisiatif yang diambil selama enam bulan ini akan mengukuhkan kedudukan.

“Kami akan terus memberi tumpuan kepada perjalanan ini untuk mempercepat inisiatif penjanaan pendapatan baru dan mampan sambil mengekalkan kecekapan operasi," katanya.

Bagi tujuan memaksimumkan nilai asetnya, Media Prima juga mengumumkan ia telah memasuki cadangan urus niaga jualan dan pajak semula bersama PNB Development Sdn Bhd (PNBD) untuk aset-asetnya dengan pertimbangan tunai RM280 juta.

Ini akan menjadikan Media Prima syarikat yang beraset ringan dan berada di dalam kedudukan lebih baik bagi menceburi peluang pendapatan baru dan peluasan dalam segmen digital serta perdagangan.

Perjanjian jual dan beli dengan PNBD itu membabitkan aset-aset yang dimiliki oleh NSTP, termasuk Balai Berita Shah Alam dan Balai Berita Bangsar.

Selepas selesai cadangan jualan ini, Media Prima dijangka mencatat keuntungan sebanyak RM127.7 juta.

Ia akan menjana penjimatan berjumlah RM10 juta setahun dan membolehkan Media Prima mengekalkan simpanan tunai untuk usaha transformasi perniagaan.

Disiarkan pada: August 30, 2018 @ 8:47pm
d