bisnes

KKM terbuka syarikat lain saing Astro

Oleh BERNAMA

KEMENTERIAN Komunikasi dan Multimedia (KKMM) bersifat terbuka kepada cadangan sekiranya terdapat syarikat yang berminat untuk bersaing dengan Astro bagi menyediakan perkhidmatan penyiaran televisyen berbayar di negara ini, Dewan Negara diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Eddin Syazlee Shith berkata kementeriannya bersedia memberi hak atau lesen Penyedia Perkhidmatan Aplikasi Kandungan Individu (CASP) kepada syarikat-syarikat yang berminat asalkan mereka mematuhi syarat-syarat tertentu.

Antara syarat itu adalah syarikat perlu ditubuhkan di Malaysia dengan modal berbayar sebanyak RM500,000.

"Cuma perlu dipertimbangkan kerana Astro telah diberi hak 25 tahun berdasarkan kepada pelaburan yang dibuat untuk memajukan teknologi bagi mendapatkan kandungan yang bagus seperti rancangan penyiaran HD yang merupakan antara yang terbaik di Asia Pasifik.

"Untuk syarikat seperti Astro ini perlu tempoh 23 tahun hanya untuk mendapatkan pulangan pelaburan. Ini adalah faktor yang perlu dipertimbangkan oleh syarikat baharu, ini bukan mudah. Faktor ini menjadi kekangan kerana memerlukan modal yang besar," katanya di Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Senator Datuk Yong Wui Chung yang ingin tahu jika ada bantuan atau insentif yang boleh disediakan kementerian itu dalam memberi peluang syarikat penyiaran tempatan mahupun luar negara untuk bersaing dengan Astro.

Eddin Syazlee berkata, Astro yang dikendalikan syarikat MEASAT Broadcast Network Systems Sdn Bhd (MBNS) diberikan hak eksklusif dan keistimewaan untuk menyiarkan kandungan melalui perkhidmatan satelit dengan aktiviti pemancaran ke mana-mana satelit bagi penerimaan kandungan penyiaran oleh orang awam secara langsung sejak 1997.

"Tempoh hak eksklusif dan keistimewaan itu telah berakhir pada 28 Feb tahun lalu, walau bagaimanapun MBNS masih boleh meneruskan aktviti penyiaran satelit atas dasar non-exclusive basis kerana lesen yang dimiliki di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 adalah sah sehingga 1 Feb 2020," katanya.

Katanya lagi, sehingga 30 Jun lalu terdapat 35 syarikat yang diberi lesen CASP individu oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) untuk menawarkan perkhidmatan penyiaran televisyen melalui pelbagai platform seperti satelit, penyiaran bebas ke udara, protokol internet Televisyen Protokol Internet (IPTV) dan Terrestrial Digital TV.

Empat daripada 35 syarikat berkenaan dibenar untuk menawarkan perkhidmatan penyiaran televisyen melalui satelit itu iaitu Ansa Broadcast Sdn Bhd, Jaringan Mega Sdn Bhd, Smart Digital International Sdn Bhd dan High End Net Sdn Bhd.

"Dengan adanya kepelbagaian platform ini rakyat dijangka mempunyai banyak pilihan untuk menikmati kandungan sama ada siaran percuma atau menerusi penyairan berbayar. Rakyat juga mempunyai pilihan menikmati kandungan penyiaran melalui platform ‘over-the-top’ seperti aplikasi Tonton, iflix atau Netflix," katanya.

Disiarkan pada: September 4, 2018 @ 2:17pm
d