bisnes

Tiada harga siling bagi tambang penerbangan

Oleh Farah Adilla

Kuala Lumpur: Kerajaan memutuskan untuk tidak memperkenalkan harga siling bagi tambang penerbangan kerana ia akan memberi kesan kepada pengguna dalam jangka panjang.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, kajian dijalankan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) menunjukkan bahawa purata tambang penerbangan sehala domestik di Malaysia semakin berkurangan dalam tempoh beberapa tahun lalu.

“Purata tambang penerbangan sehala domestik berkurangan sejak beberapa tahun lalu dan kami tidak mahu impak itu berubah sekiranya harga siling diperkenalkan.

“Pengenalan kepada harga siling bukan saja akan menurunkan tambang penerbangan pada musim puncak, malah mampu menaikkan harga ketika musim biasa dan kami tidak mahu perkara itu berlaku,” katanya dalam taklimat media, di sini, semalam.

Kajian oleh MAVCOM menunjukkan, purata tambang penerbangan sehala domestik di Malaysia berkurangan kepada RM214 pada Mei lalu daripada RM251 pada Januari 2011.

Suruhanjaya itu menjelaskan, daripada 46 laluan domestik yang dianalisis, 39 laluan mempunyai tambang harga berganda antara 0.8 dan 3.0 ketika musim puncak.

Harga pengganda melebihi 3.0 adalah semasa tempoh Tahun Baru Cina untuk beberapa laluan lingkungan Malaysia Barat, serta laluan antara Malaysia Barat dan Malaysia Timur.

MAVCOM berkata, perubahan harga itu selari dengan amalan penetapan harga dinamik syarikat penerbangan global yang mana tambang penerbangan ditentukan berdasarkan keadaan pasaran dan permintaan.

Justeru, Loke berkata, kementeriannya bersama Malaysia Airlines, AirAsia dan Malindo bersetuju meningkatkan kapasiti penerbangan domestik 20 peratus pada musim puncak dalam usaha menurunkan tambang penerbangan ketika waktu itu.

Katanya, tempoh percubaan rancangan itu akan bermula tahun depan ketika Tahun Baru Cina, Aidilfitri serta Pesta Kaamatan dan Hari Gawai.

“Peningkatan kapasiti 20 peratus itu hanya untuk musim perayaan berkenaan, memandangkan kajian menunjukkan permintaan sering meningkat 20 peratus pada waktu terbabit,” katanya.

Beliau berkata, penambahan kapasiti itu akan dilaksanakan untuk tujuh hari berturut-turut sebelum sambutan perayaan berkenaan.

Katanya, tiket untuk tempoh percubaan itu akan dijual bermula Oktober ini.

Disiarkan pada: September 5, 2018 @ 9:27am
d