bisnes

Sasar 400,000 peminjam

Oleh Azzman Abdul Jamal

Kuala Lumpur: Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) menyasarkan untuk meningkatkan jumlah Sahabat (peminjam AIM) kepada 400,000 orang pada tahun depan dalam usaha menggalakkan orang ramai khususnya golongan miskin menceburi bidang keusahawanan.

Pengarah Urusannya, Mohamed Shamir Abdul Aziz berkata, sehingga kini AIM mempunyai 379,824 sahabat yang berdaftar dan sudah memperuntukkan pembiayaan lebih RM20 bilion sejak penubuhannya.

“Setiap tahun, kami memperuntukkan pembiayaan kumulatif RM2 bilion kepada golongan miskin untuk mengusahakan sebarang kegiatan ekonomi berasaskan kemahiran yang dimiliki sebagai usaha menambahkan pendapatan keluarga.

“Sejak Januari hingga Jun lalu, kami berjaya mendaftarkan seramai 18,639 sahabat baru,” katanya, di sini.

Dalam pada itu, AIM melancarkan Kempen Kad MyDebit Tanpa Sentuh (CMCCS) bagi tempoh September 2018 hingga Februari 2019.

CMCCS yang dilancarkan pada 2015 adalah sistem pembayaran tanpa tunai yang bertujuan memudahkan peminjam AIM melakukan pembayaran semula menerusi kad debit yang dimiliki mereka.

Melangkah ke hadapan, Shamir berkata, AIM kini sedang berusaha untuk menggalakkan peminjam beralih kepada penggunaan sistem itu.

“Sejak dilancarkan, lebih 150,000 peminjam sudah menggunakan CMCCS dan ini merangkumi hampir 50 peratus daripada jumlah keseluruhan sahabat.

“Dalam masa terdekat, kami mahu meningkatkan jumlah penggunaan sistem itu kepada 180,000 sahabat,” katanya.

Sejak ditubuhkan pada 1987, AIM mempunyai seramai 379,824 sahabat dan ia memperuntukkan pembiayaan kumulatif berjumlah RM2 bilion setiap tahun.

Disiarkan pada: September 12, 2018 @ 2:59pm
d