bisnes

Pacu biodiesel

Oleh Alzahrin Alias

Pelabuhan Klang: Kerajaan menggesa peserta industri, khususnya syarikat terbabit dalam sektor logistik, perladangan dan perkilangan menyokong usaha meningkatkan penggunaan minyak sawit secara domestik melalui biodiesel B10.

Menteri Industri Utama, Teresa Kok berkata, penggunaan ini juga sejajar usaha membantu pekebun kecil yang berdepan masalah lebihan stok minyak sawit.

Katanya, semua pihak perlu serius dan menjadikan penggunaan B10 ini sebagai realiti. Pada 1 Ogos lalu, kementeriannya mengadakan sesi rundingan B10 bersama syarikat pengeluar kenderaan, persatuan industri pembuatan dan syarikat petroleum.

“Daripada (sesi) itu, satu makmal persediaan diadakan dengan pembabitan agensi kerajaan dan pemain industri. Bagaimanapun, kerajaan masih tidak mempunyai jangkaan tempoh mewajibkan penggunaan sepenuhnya B10. Cadangan dan maklumat perlu diperhalusi terlebih dulu.

“Namun, beberapa syarikat sudah mengambil pendekatan menggunakan B10 dalam operasi mereka seperti FGV Holdings Bhd (FGV).

Tiada sebarang masalah dihadapi mereka dan ini menunjukkan kita sudah boleh bersedia menggunakannya.

“Malah negara luar seperti Eropah, China dan India juga memang menggunakan biodiesel yang diakui mesra alam.

Namun kadar penggunaannya masih rendah, lantaran itu kita sebagai antara negara pengeluar utama minyak sawit harus memainkan peranan dan mengambil peluang yang ada menggunakan minyak sawit sebagai biobahan api,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan program kerjasama antara FGV dan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) menggunakan B10 di Pelabuhan Klang, semalam.

Hadir sama, Timbalan Menteri Industri Utama, Shamsul Iskandar Mohd Akin, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif FGV, Datuk Zakaria Arshad, Pengerusi MPOB, Tan Sri Mohd Bakke Salleh dan Ketua Pengarah MPOB, Datuk Dr Ahmad Kushairi Din.

Biodiesel B10 mengandungi adunan 10 peratus ester metil sawit (PME) dengan 90 peratus petroleum diesel.

Sementara itu, Zakaria berkata, sekarang adalah waktu terbaik kerajaan mempertimbangkan cadangan pelaksanaan mandat B10 berikutan harga minyak sawit mentah kini rendah.

Katanya, jangkaan penganalisis pasaran juga menunjukkan stok minyak sawit mentah Malaysia dan Indonesia dijangka meningkat separuh kedua tahun ini disebabkan pengeluaran tinggi dan ia bakal menambah tekanan kepada harga pasaran minyak sawit.

Disiarkan pada: September 14, 2018 @ 3:00pm
d