bisnes

Pembangunan RM1.8 bilion hampir siap

Oleh HM Digital

Petaling Jaya: Pembangunan Komersial Bersepadu Paradigm bernilai RM1.8 bilion yang dimajukan WCT Holdings Berhad hampir siap dengan menara kediaman, Residensi Sapphire Paradigm yang akan dilancarkan tidak lama lagi.

Pengarah Urusan Kumpulan WCT Datuk Lee Tuck Fook berkata, pembangunan terbabit adalah pembangunan komersial bersepadu pertama WCT di Petaling Jaya.

“Kami gembira dapat menyaksikan pembangunan ini berkembang pesat dan menjadi pusat tumpuan gaya hidup pilihan yang menawarkan kemudahan tiada tandingan. Ia juga menggabungkan kemudahan kediaman, pejabat, hiburan, membeli-belah dan hospitaliti di bawah satu bumbung.

“Proses menyiapkan komponen korporat dan gaya hidup ini sudah menambahkan daya tarikan pembangunan ini, terutama dalam kalangan peruncit dan perusahaan komersial yang mahu memanfaatkan kemudahan dan bilangan penduduk sekitar yang semakin bertambah,” katanya menerusi kenyataan.

Lee berkata, komponen perniagaan runcitnya, Paradigm Mall PJ menerima purata 14 juta pengunjung setiap tahun.

“Hakikat ini membuktikan kejayaan pembangunan ini akan memberi kesan positif kepada tawaran kami yang lain dalam pembangunan bersepadu hebat ini yang menjadi mercu tanda Petaling Jaya,” katanya.

Terletak strategik di Lebuhraya Damansara-Puchong, pembangunan bersepadu ini dibina di atas tanah seluas 14 ekar (5.66 hektar) di tengah bandar Kelana Jaya yang mapan.

Menjelang akhir 2018, kawasan projek ini akan siap dibangunkan sepenuhnya dengan merangkumi pusat membeli-belah, Paradigm Mall Petaling Jaya (Paradigm Mall PJ), menara korporat The Ascent, hotel mewah Hotel New World Petaling Jaya dan pangsapuri perkhidmatan The Azure dan juga Residensi Sapphire Paradigm.

Sementara itu, komponen terakhir pembangunan, Residensi Sapphire Paradigm pula dijangka siap menjelang suku keempat 2018.

Menara tunggal itu menempatkan 229 unit kediaman kontemporari bergaya dengan pilihan empat susun atur, daripada 1,001 kaki persegi kepada 1,722 kaki persegi.

Disiarkan pada: September 15, 2018 @ 2:15am
d