bisnes

Lantik pakar anak watan

Oleh Nurhayati Abllah

Kuala Lumpur: Malaysia Airlines Bhd (Malaysia Airlines) memerlukan satu kumpulan pakar untuk meneliti dan merangka cadangan bagi memastikan kelangsungan syarikat penerbangan nasional itu kekal kukuh ke hadapan.

Bekas Pengarah Urusan Malaysia Airlines yang sebelum ini dikenali sebagai Malaysian Airlines System (MAS), Tan Sri Dr Abdul Aziz Abdul Rahman berkata, syarikat yang ada pada masa ini berdepan masalah dan sudah merekodkan kerugian sejak tiga tahun berturut-turut bermula 2015.

“Kerajaan sekarang perlu melantik sekumpulan pakar yang mampu membuat cadangan (ke arah penambahbaikan) kepada Malaysia Airlines.

“Kumpulan perlu terdiri daripada individu yang memiliki kepakaran dalam pelbagai segmen termasuk aspek kewangan, kejuruteraan, komersial serta pengurusan sumber manusia dan mereka bertanggungjawab untuk mengemukakan cadangan itu kepada kerajaan,” katanya.

Beliau yang menamatkan perkhidmatan di Malaysia Airlines pada 1991 berkata, pemilihan kumpulan pakar berkenaan mestilah dipilih dalam kalangan tenaga pakar tempatan kerana mereka lebih mengetahui persekitaran dan sektor penerbangan negara.

“Kita sudah memiliki tenaga kepakaran tempatan yang mencukupi, tidak perlu kepada kepakaran dari luar negara kerana persekitaran di sini adalah berbeza dengan mereka.

“Beri mereka masa berbincang mungkin dalam masa dua minggu sebelum mengetengahkan cadangan kepada kerajaan dan bagi membantu usaha berkenaan, Malaysia Airlines perlu bersikap lebih telus,” katanya.

Dalam keadaan sektor penerbangan yang kini mengamalkan konsep langit terbuka, beliau berpendapat, Malaysia Airlines perlu untuk terus kekal sebagai sebuah syarikat penerbangan bertaraf dunia.

“Ia sememangnya memerlukan modal besar dan tenaga kerja terlatih selain meningkatkan laluan penerbangan terutama ke pasaran lebih besar seperti di China, India, Taiwan, Hong Kong selain Australia dan New Zealand.

“Jika semua aspek itu diambil kira termasuk meningkatkan perkhidmatan kargo, Malaysia Airlines akan terus berkembang serta bersaing di peringkat global,” katanya.

Abdul Aziz berkata, 2018 menjadi tahun penentu kepada Malaysia Airlines sama ada pasukan pengurusan sedia ada perlu dikekalkan atau diteliti semula.

“Pada akhir tahun ini, kami perlu melihat keputusannya (prestasi Malaysia Airlines). Jika ia menunjukkan peningkatan luar biasa berbanding tahun lalu, ia memberikan satu harapan.

“Jika ia berterusan buruk, kami mencadangkan kepada kerajaan melihat semula keseluruhan pasukan pengurusan syarikat penerbangan itu kerana masih ramai yang berada di luar sana mampu menguruskannya,” katanya.

Katanya, beliau sebelum ini pernah diberitahu Khazanah Nasional Bhd bahawa Malaysia Airlines disasar untuk mencapai keuntungan dan disenaraikan semula di Bursa Malaysia pada 2018.

Selain itu, beliau mendakwa pembelian pesawat A380 satu pilihan salah dibuat syarikat penerbangan itu kerana ia tidak sesuai dengan keperluan pasaran negara.

“Saya tidak tahu siapa membuat keputusan bagi pembelian itu. Pesawat itu ialah pengeluaran pertama yang masih dalam peringkat eksperimen, banyak perkara belum lengkap.

“Setakat ini, hanya dua pesawat itu boleh beroperasi manakala empat lagi tidak dapat digunakan,” katanya.

Disiarkan pada: September 25, 2018 @ 12:59pm
d