bisnes

Tak bincang lagi

Oleh Sri Ayu Kartika Amri dan Nora Mahpar

Kuala Lumpur: Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) belum mengadakan perbincangan mengenai masa depan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) bersama kontraktor utama projek berkenaan, China Communications Construction Ltd (CCCC).

Sumber berkata, MRL sebagai pemilik ECRL masih belum menerima sebarang maklum balas daripada CCCC meskipun firma China itu sebelum ini dilaporkan menyatakan minat untuk membeli kepentingan ekuiti ECRL jika projek mega itu diteruskan.

“Setakat ini tiada sebarang perbincangan diadakan antara MRL dan CCCC dan kita juga masih menunggu tindakan lanjut berhubung kenyataan yang dibuat mereka (CCCC),” kata sumber yang rapat dengan perkembangan itu semasa dihubungi Bisnes NSTP di sini, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, sumber itu berkata, MRL tidak mempunyai kuasa untuk mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi memandangkan ECRL kini berada di bawah bidang kuasa Kementerian Kewangan.

Baru-baru ini, Naib Presiden CCCC, Sun Ziyu berkata, pihaknya terbuka untuk mengadakan perbincangan berhubung perkongsian ekuiti dalam projek ECRL yang digantung pembinaannya sejak Julai lalu.

Sebagai kontraktor utama projek mega itu, CCCC berharap projek ECRL dapat diteruskan dan menyatakan kesanggupan untuk mengambil alih kepentingan ekuiti dalam ECRL jika projek berkenaan diteruskan.

“Dalam projek Mombasa-Nairobi SGR (Standard Gauge Railway), kami berjaya menukar peranan daripada kontraktor kepada pengendali kereta api. Kita boleh mengadakan perbincangan lanjut mengenai ECRL.

“Kami terbuka kepada perbincangan (mengenai potensi perkongsian ekuiti). Kami juga boleh mengguna pakai konsep TOD (pembangunan berorientasikan transit) dalam projek keretapi berkenaan,” katanya ketika ditemui media tempatan di China minggu lalu.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, baru-baru ini, mengumumkan kerajaan masih belum membuat sebarang keputusan berhubung projek mega ECRL.

“Kami akan buat pengumuman pada masa yang sesuai kerana saya perlu berbincag dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad,” katanya.

Disiarkan pada: October 1, 2018 @ 3:00pm
d