bisnes

Dana sasar 30% wanita

Oleh Nabil Basaruddin

KUALA LUMPUR: Usaha SME Bank memperkenalkan produk pembiayaan khusus kepada kaum wanita, MySMELady dilihat sebagai insiatif penting kepada kerajaan dalam mempercepatkan sasaran 30 peratus pembuat keputusan dari kalangan wanita.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, berdasarkan Bancian Ekonomi 2016, jumlah usahawan wanita di Malaysia masih kecil iaitu di paras 20.6 peratus daripada jumlah keseluruhan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) negara.

Beliau berkata, kumpulan usahawan, khususnya golongan wanita perlu meningkatkan ilmu serta kemahiran perniagaan serta bersedia untuk merebut segala peluang yang ada.

“Sebagai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, saya mengalu-alukan produk pembiayaan seperti MySMELady ini.

“Saya berharap ia akan dapat membantu mengangkat martabat kaum hawa sebagai antara penyumbang utama ekonomi negara.

“Saya percaya produk ini juga akan membawa SME Bank ke tahap yang lebih tinggi pada masa akan datang,” katanya pada majlis perasmian dan pelancaran SME Bank XCESS 2018 serta dua produk baru bank itu di sini, semalam.

Selain itu, majlis itu turut menyaksikan pengenalan MySMExport bagi pembiayaan sehingga RM5 juta dan mendapat akses kepada program sokongan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) serta kemudahan perdagangan Bank Muamalat.

Bagi produk MySMELady, ia memberi kemudahan pembiayaan sehingga RM1 juta yang memberi pilihan kepada usahawan wanita untuk mendapatkan pembayaran sehingga 30 peratus daripada jumlah pembiayaan menerusi kad debit Bank Islam.

Hadir sama, Menteri Pembangunan Usahawan, Mohd Redzuan Md Yusof dan Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Aria Putera Ismail.

Wan Azizah berkata, usahawan tempatan perlu lebih berdikari dan mencipta peluang sendiri dalam mengembangkan perniagaan yang dijalankan, sekali gus dapat bersaing secara terbuka di pasaran antarabangsa.

“Malah, mengambil contoh dari pengalaman Amanah Ikhtiar Malaysia dan Grameen Bank Bangladesh menunjukkan kaum wanita bukan saja gigih dalam menjayakan perusahaan mereka, malah menjadi pembayar hutang yang baik,” katanya.

Katanya, usaha SME Bank dengan bekerjasama bersama agensi serta bank komersial yang lain adalah inovasi strategik yang dilihat memacu rangkaian strategi unik dan berkesan.

“Pelbagai pemain industri perlu bekerjasama secara holistik bagi memastikan matlamat memperkasa sektor PKS dalam negara dapat diberi perhatian secara khusus,” katanya.

Selain itu, kerajaan menerusi Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) dan Jabatan Pembangunan Masyarakat (JPM) di bawah kementeriannya akan bekerjasama dengan SME Bank bagi membantu meningkatkan penyertaan kaum wanita dalam dunia keusahawanan.

Disiarkan pada: October 9, 2018 @ 4:30am
d