bisnes

Maxis optimis peneraju pelan jalur lebar fiber

Oleh Nora Mahpar

KUALA LUMPUR: Maxis Bhd optimis untuk menjadi peneraju dalam penyediaan pelan jalur lebar fiber berkelajuan tinggi di negara ini.

Penyedia perkhidmatan telekomunikasi itu menjadi antara pengendali terawal memperkenalkan pakej jalur lebar dengan kelajuan minimum 30Mbps pada harga serendah RM89 manakala bagi kelajuan 100Mbps ditawarkan pada harga RM129, penjimatan sehingga 65 peratus berbanding sebelum ini.

Ketua Perniagaan Pelanggannya, Dushyan

Vaithiyanathan berkata,

ketika ini 40,000 daripada 200,000 pelanggan jalur

lebar sedia adanya sudah beralih kepada pakej baharu itu sejak mula dilancarkan pada Ogos lalu.

“Kami dapati kediaman juga mahukan Internet berkelajuan tinggi dan ia dilihat sebagai keperluan asas ketika ini. Apa yang penting, kami bukan saja menurunkan harga tetapi memberikan perkhidmatan Internet berkelajuan tinggi pada harga mampu milik.

“Dengan penembusan kelajuan 4G yang menyeluruh ketika ini, kami yakin Internet berkelajuan 100Mbps akan menjadi pilihan semua orang satu hari nanti dengan pelbagai peranti disambungkan kepada Internet jalur lebar mereka,” katanya.

“Dalam tempoh setahun akan datang, kita dapati pelanggan akan menerima manfaat internet berkelajuan tinggi dengan kos yang minimum berbanding dua atau tiga tahun lalu. Jadi, kita jadikan inisiatif ini sebagai penanda aras bagaimana Maxis bergerak ke hadapan dalam industri ini. Saya percaya, Maxis akan memimpin proses ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas pelancaran pelepasan kakitangan Maxis dalam kempen ‘Fibrenation Box Swap’ di sini, semalam.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Maxis, Robert Nason.

Menerusi kempen itu, kira-kira 600 kakitangan Maxis diiringi Maxperts, pasukan pakar internet Maxis akan melawat 1,500 kediaman dan perniagaan di seluruh negara dalam tempoh dua hari bermula hari ini untuk menaik taraf router wifi band tunggal kepada router dwi-band yang membolehkan peningkatan kelajuan tambahan.

Router baru ini akan dipasang tanpa caj tambahan, dan pelanggan sedia ada yang ingin menaiktaraf pelan mereka boleh memperbaharui kontrak mereka tanpa penalti.

Sementara itu, Nason berkata, matlamat Maxis adalah membuka era baru bagi pelan jalur lebar fiber yang boleh diakses oleh kebanyakan kediaman dan perniagaan.

“Kami percaya fiber mempunyai masa depan yang baik dan kami optimis dengan potensi pertumbuhan yang signifikan.

“Kami kini satu-satunya penyedia akses jalur lebar fiber di negara ini dan akan terus bekerjasama dengan kerajaan serta pembekal akses bagi menyediakan lebih banyak pelan baru kepada pelanggan,” katanya.

Disiarkan pada: October 12, 2018 @ 4:15am
d