bisnes

CPCG suntik pelan pelaburan

Oleh Nora Mahpar

KUALA LUMPUR: Firma China, Pacific Construction Group Limited (CPCG) akan melabur sehingga RM10 bilion di Malaysia dalam tempoh 10 tahun membabitkan bidang pembangunan infrastruktur, jentera berteknologi tinggi, pemindahan pengetahuan dan pendidikan.

CPCG yang berada pada kedudukan ke-96 dalam Fortune Global 500 bagi tahun 2018 dengan pendapatan mencecah RM319 bilion adalah syarikat pembinaan swasta yang terbesar di dunia.

Bagi melancarkan rancangan pelaburan kumpulan itu di Malaysia dan di seluruh Asia Pasifik, CPCG telah menubuhkan syarikat milikan penuh, CPCI Holdings Sdn Bhd (CPCI) di Kuala Lumpur yang akan berfungsi sebagai Pusat Kompetensi Teknikal Serantau Kumpulan.

Pengasasnya, Yan Jiehe yang termasuk dalam senarai 10 individu paling kaya di China berkata, Malaysia adalah negara mesra perniagaan dan antara negara paling berdaya saing di rantau ini.

“Negara ini mempunyai asas yang kukuh. Anda memiliki infrastruktur yang sangat baik, ekosistem yang teguh dan mempunyai ramai modal insan yang mampu bertutur dalam tiga bahasa. Oleh itu, Kuala Lumpur adalah hab pelancaran yang strategik untuk kami mengembangkan perniagaan di Asia Pasifik.

“Kami bersedia untuk menambah pelaburan terutamanya dalam projek persekutuan yang akan memberi manfaat kepada orang ramai. Kami memiliki rekod cemerlang dalam menyempurnakan projek pembinaan rumit di China.

“Berdasarkan rekod ini, kami yakin melalui kerjasama dengan rakan kongsi tempatan, sekali gus mampu mencapai kejayaan serupa di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Pada masa ini, CPCI terbabit dalam projek pembinaan bernilai RM200 juta di Sahabat, Sabah.

Kumpulan itu antara pengendali bandar terbesar di China yang melaksanakan pelaburan, pembinaan dan pengurusan lebih 3,000 taman di lebih 1,000 bandar di seluruh China.

Jiehe berkata, dalam tempoh lima tahun akan datang, syarikat itu merancang untuk menggunakan khidmat 150 kakitangan profesional berkemahiran tinggi yang mana lebih separuh daripadanya adalah warganegara Malaysia bagi menjadikan CPCI sebagai pemain utama di rantau Asia Pasifik.

“Modal insan yang berkeupayaan bertutur dalam tiga bahasa ini adalah amat penting bagi melaksanakan projek kumpulan ini di seluruh dunia,” katanya .

Menyentuh mengenai strategi pendidikan, CPCI bercadang untuk menubuhkan sekolah dan universiti perniagaan serta menawarkan biasiswa kepada pelajar tempatan dengan peringkat awal, seramai 500 biasiswa disediakan bagi pelajar pembinaan dan kejuruteraan.

Disiarkan pada: October 12, 2018 @ 4:30am
d