bisnes

NSK bertapak di Cyberjaya

Oleh Sofyan Rizal Ishak

CYBERJAYA: NSK Property Sdn Bhd (NSK), sayap hartanah bagi NSK Trading Sdn Bhd (NSK Group) dan Setia Haruman Sdn Bhd (Setia Haruman), pemaju induk Cyberjaya menandatangani perjanjian penyewaan bagi NSK membuka pasar raya besarnya di Cyberjaya menjelang 2020.

Melalui perjanjian itu, NSK menyewa tanah seluas 5.26 hektar yang terletak di tengah Cyberjaya daripada Setia Haruman untuk tempoh 15 tahun akan datang.

Pasar raya besar NSK yang memiliki keluasan 250,000 kaki persegi itu akan dibuka pada suku terakhir 2020 dan beroperasi pada jam 7 pagi hingga tengah malam setiap hari.

Pengerusi Eksekutif NSK, CB Lim berkata, pembukaan pasar raya besar di Cyberjaya itu dilakukan berikutan syarikat yakin dengan pertumbuhan pantas Cyberjaya pada masa akan datang.

“Pasar raya besar kami di Selayang dan Kuchai Lama beroperasi 24 jam dan kami percaya ada keperluan untuk memiliki pasar raya besar 24 jam bagi memenuhi keperluan penduduk yang ingin keselesaan membeli-belah pada sebarang masa mengikut kelapangan masing-masing,” katanya pada majlis menandatangani perjanjian itu di sini.

Pasar raya besar yang menelan kos RM35 juta itu menggabungkan dua konsep iaitu peniagaan runcit dan borong sekali gus menjadikannya sebagai yang pertama seumpamanya di Cyberjaya.

Sementara itu, Pengerusi Eksekutif Setia Haruman, Ahmad Khalif Mustapha Kamal berkata, pembukaan pasar raya besar NSK di Cyberjaya itu adalah satu lagi pencapaian terbaik dan selari dengan pertumbuhan serta pembangunan ekosistem Cyberjaya.

Menurutnya, Cyberjaya memiliki banyak kemudahan yang memenuhi keperluan komuniti sama ada daripada aspek pendidikan, sukan dan rekreasi serta cawangan 24 jam.

“Kami teruja kerana pasar raya besar NSK menjadi sebahagian daripada komuniti di Cyberjaya dan percaya lokasinya yang ideal akan membantu komuniti di Cyberjaya berkembang maju untuk memiliki keperluan mereka dengan lebih baik,” katanya.

Disiarkan pada: October 13, 2018 @ 4:15am
d