bisnes

Beza pendapatan hampir dua kali ganda

Oleh Bisnes NSTP

ISI rumah di Malaysia kini berkedudukan lebih baik berbanding generasi sebelumnya, namun masih ada jurang dari segi pendapatan dan pekerjaan yang perlu diatasi, menurut laporan Keadaan Isi Rumah 2018.

Laporan bertajuk ‘Realiti Berbeza’ yang disediakan oleh Institut Penyelidikan Khazanah (KRI) itu, menonjolkan perbezaan antara pendapatan isi rumah dari segi lokasi geografi, perbelanjaan dan ketidaksamaan.

Berdasarkan agihan pendapatan isi rumah pada 2016, isi rumah M40 ditakrifkan sebagai golongan yang berpendapatan antara RM4,360 dan RM9,619.

Bagaimanapun, ambang pendapatan itu di peringkat negeri adalah berbeza ketara.

“Isi rumah T20 di Kelantan, Perlis atau Pahang mungkin menjadi isi rumah B40 di Kuala Lumpur. Isi rumah responden di Melaka, Johor dan Pulau Pinang lebih hampir dengan purata nasional.

“Perbezaan pendapatan isi rumah di negeri-negeri juga boleh dijelaskan oleh faktor urbanisasi dan pendidikan. Isi rumah bandar memperoleh lebih daripada isi rumah luar bandar, dan isi rumah yang ketuanya mempunyai pendidikan serta tahap kemahiran lebih tinggi mempunyai pendapatan isi rumah lebih tinggi,” kata laporan itu.

Selain itu, isi rumah berpendapatan lebih rendah berbelanja melebihi pendapatan mereka secara tidak seimbang.

Isi rumah berpendapatan di bawah RM2,000 membelanjakan hampir 95 peratus pendapatan mereka.

Selepas dikeluarkan kesan inflasi, isi rumah berpendapatan di bawah RM5,000 kurang berbelanja untuk makanan selain rekreasi dan khidmat budaya, kata laporan itu.

KRI berkata, jurang antara kaya dan miskin masih boleh meningkat, walaupun petunjuk-petunjuk ketidaksamaan relatif sedang mengecil.

Perbezaan pendapatan purata antara isi rumah T20 dan M40/B40 adalah hampir dua kali ganda, berbanding dua dekad lalu.

“Semakin ramai orang boleh menjadi miskin walaupun kadar kemiskinan sedang berkurangan. Lebih daripada sejuta isi rumah hidup dalam ‘kemiskinan relatif’ berbanding dua dekad lalu,” kata KRI.

Kemiskinan relatif merujuk kepada jumlah isi rumah yang hidup di bawah 60 peratus pendapatan penengah isi rumah.

Penyertaan wanita dalam pasaran pekerjaan, bagaimanapun, telah meningkat sejak 2010 dan golongan itu kekal lebih lama dalam pasaran.

Satu pertiga kenaikan dalam pasaran tenaga kerja wanita antara 2010 dan 2016 adalah disumbangkan oleh bekerja sendiri.

Bagaimanapun, jurang kadar penyertaan pasaran tenaga kerja (LFPR) antara lelaki dan wanita kekal besar berbanding negara-negara lain.

KRI menjelaskan ini adalah disebabkan oleh tuntutan kerja-kerja di rumah, yang menyebabkan 2.6 juta wanita berada di luar pasaran tenaga kerja berbanding 70,000 lelaki.

Sejumlah besar wanita di luar pasaran tenaga kerja kebanyakannya berpendidikan dan pada usia bekerja puncak, tambahnya.

Sementara itu, jumlah pekerja asing meningkat dengan pertanian, pembinaan dan pembuatan adalah sektor paling berintensifkan pekerja asing.

Laporan itu berkata, masalah terbesar adalah ketidakpadanan bekalan dan permintaan.

Disiarkan pada: October 15, 2018 @ 12:54pm
d