bisnes

Shell, GoCar jalin kerjasama

Oleh Lizam Ridzuan

KUALA LUMPUR: Shell Malaysia Trading Sdn Bhd (Shell Malaysia) meraikan kerjasama dengan GoCar Malaysia melalui penyediaan lokasi ke-100 untuk perkhidmatan aplikasi perkongsian kereta itu di negara ini.

Pengarah Urusannya, Shairan Huzani Hussain berkata, sejak dimulakan pada tahun lalu dengan satu lokasi di Subang Jaya, GoCar kini boleh didapati di 100 stesen Shell di Lembah Klang, Johor Bahru dan Pulau Pinang.

“Sebanyak 30 peratus pelanggan yang datang ke stesen kami bukan mengisi bahan api tetapi untuk mendapatkan perkhidmatan dan barangan di sini serta GoCar Malaysia memberi nilai tambah kepada Shell untuk tawaran servis yang terbaik di bawah satu bumbung,” katanya dalam majlis pengumuman, semalam.

Menurutnya, antara kelebihan kerjasama ini ialah setiap kereta perkongsian itu akan diisi dengan bahan api Shell dan pelanggan juga boleh mengambil kereta dalam keadaan yang selamat memandangkan setiap lokasi adalah strategik.

“Malah, kami juga mempunyai kakitangan yang sedia membantu pelanggan,” katanya.

Menurutnya, kerjasama ini dilihat sebagai situasi menang-menang bagi kedua-dua pihak terutama pengguna Shell Select di lebih 500 stesen di seluruh negara.

“Setiap tahun kami akan membuka lebih 20 stesen Shell baharu dan kemudahan ini akan ditambah mengikut keperluan dan permintaan,” katanya.

GoCar memiliki lebih 500 kenderaan daripada model sedan, kenderaan pelbagai guna (MPV), kenderaan utiliti sukan (SUV) dan trak pikap di lebih 230 lokasi lain di seluruh negara.

Pengguna boleh memuat turun aplikasi GoCar ke telefon pintar daripada App Store dan Google Play Store dengan melakukan pendaftaran percuma.

Semua transaksi untuk perkongsian kereta itu adalah dalam talian tanpa perlu menggunakan wang tunai.

Untuk meraikan kerjasama ini, Shell dan GoCar turut mengadakan promosi dari 16 Oktober sehingga 15 Disember 2018 iaitu dengan membelanjakan minimum RM5 dalam satu resit di stesen Shell terpilih, pelanggan bakal menikmati diskaun 50 peratus bagi tempahan GoCar.

Disiarkan pada: October 17, 2018 @ 4:39am
d