bisnes

Football Republic buka cawangan di Alor Setar

Oleh Izzali Ismail

KEDAI konsep barangan sukan bola sepak premium Football Republic melancarkan cawangan keduanya di Alor Setar, semalam selepas cawangan pertamanya dibuka di Suria KLCC, tahun lalu.

Kedai barangan eksklusif yang dimiliki sepenuhnya Al-Ikhsan Sports Sdn Bhd (Al-Ikhsan Sports) itu menyediakan pelbagai variasi barangan sukan bola sepak berkualiti premium seperti but, jersi serta aksesori.

Ketua Pegawai Eksekutif Al-Ikhsan Sports Vach Pillutla berkata, pihaknya yakin Football Republic bakal diterima pelanggan di Kedah terutama dalam kalangan peminat tegar bola sepak di negeri itu.

“Al-Ikhsan Sports sentiasa menyokong inisiatif kerajaan dalam sukan bola sepak dan kita sendiri banyak melabur dalam bidang ini sejak tiga tahun lalu, dan kita akan teruskan demi perkembangannya.

“Salah satu cara adalah dengan pembukaan Football Republic yang bakal memudahkan pemain dan peminat mendapatkan barangan sukan bola sepak berkualiti setaraf yang digunakan pemain profesional dunia,” katanya.

Majlis perasmian kedai berkenaan di Kompleks Perniagaan Sultan Abdul Hamid disempurnakan Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) Abdul Rahman Abdullah.

Turut hadir, kapten pasukan Kedah Baddrol Bakhtiar dan pemenang Anugerah PUSKAS FIFA 2016 Mohd Faiz Subri.

Disiarkan pada: October 19, 2018 @ 9:21pm
d