bisnes

30% tiada duit simpanan

Oleh Azzman Abdul Jamal

KUALA LUMPUR: Kajian Literasi Kewangan Malaysia dalam talian yang dilancarkan RinggitPlus menunjukkan rakyat Malaysia tidak menabung dengan secukupnya.

Kajian yang membabitkan 3,000 responden itu, mendapati 30 peratus daripadanya mengakui bahawa mereka tidak mempunyai simpanan untuk bertahan lebih daripada sebulan.

Ketua Pegawai Eksekutif RinggitPlus, Liew Ooi Hann berkata, sejumlah 29 peratus daripada responden tidak mempunyai simpanan mencukupi untuk bertahan selama tiga bulan sekiranya tidak memiliki pendapatan.

Lebih membimbangkan, katanya, lebih daripada separuh responden tidak mampu untuk menabung lebih RM500 sebulan dengan 24 peratus menyatakan bahawa mereka tidak mampu untuk menabung.

“Malah, 32 peratus responden lagi menyatakan bahawa mereka hanya menabung kurang daripada RM500 sebulan.

“Keputusan kajian mengenai tabiat berbelanja menunjukkan 33 peratus responden sama ada membelanjakan semua pendapatan bulanan mereka atau lebih.

“Dari segi insurans pula, 54 peratus daripada responden mempunyai insurans nyawa, manakala 62 peratus mempunyai insurans perubatan,” katanya pada majlis Pelancaran Kerjasama RinggitPlus dan Ringgit Sense+, semalam.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Jirnexu Sdn Bhd, Yuen Tuck Siew dan Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima, Johan Ishak.

Johan berkata, kerjasama itu bertujuan untuk mendidik orang ramai mengenai hal ehwal kewangan peribadi menerusi rancangan Ringgit Sense+ yang akan disiarkan di TV3.

Katanya, episod pertama musim terbaru Ringgit Sense+ dijadual ke udara pada 26 November ini dan ia akan ditayangkan setiap minggu pada Isnin jam 6 petang.

“Memandangkan topik kewangan peribadi kekal penting untuk dibicarakan, kami sentiasa mencari jalan baharu bagi menyalurkan maklumat kepada rakyat Malaysia mengenai cara terbaik dalam pengurusan kewangan.

“Pada musim ini, rancangan itu akan menampilkan logo serta wajah baharu, malah kandungannya turut akan disalurkan secara digital supaya dapat meningkatkan kebolehcapaian yang lebih tinggi,” katanya.

Dalam usaha menangani isu kewangan peribadi, RinggitPlus turut menaik taraf laman webnya serta memperkenalkan ciri ‘chatbot’ bagi memudahkan orang ramai mendapatkan maklumat dan cadangan berkaitan produk kewangan.

Fungsi chatbot yang bakal diperkenalkan bermula pertengahan November ini bakal memudahkan transaksi serta permohonan untuk produk kewangan seperti kad kredit, pinjaman, simpanan dan insurans tanpa perlu mengisi borang permohonan.

Laman web baru itu menyediakan antara muka yang lebih mudah kepada pengguna untuk melayari dan mencari produk kewangan yang bersesuaian.

Disiarkan pada: October 25, 2018 @ 4:01am
d