bisnes

Rujuk kejayaan KWSP

Oleh Nabil Basaruddin dan Ayisy Yusof

KUALA LUMPUR: Kejayaan transformasi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) daripada dana bersaiz RM2.6 juta pada 1952 sehingga menjadi dana persaraan antara terbesar dunia berjumlah lebih RM800 bilion boleh dijadikan sebagai rujukan kepada kerajaan lain seluruh dunia.

Ia adalah berdasarkan Laporan Kajian Kes oleh Bank Dunia mengenai kejayaan dicapai KWSP sebagai dana persaraan awam sejak lebih enam dekad lalu.

Ahli Ekonomi Utama dan Pemangku Pengurus Negara Hab Penyelidikan dan Pengetahuan Global Bank Dunia di Malaysia, Dr Richard Record berkata, laporan itu turut menekankan tiga faktor utama yang menyumbang kepada kejayaan memberangsangkan KWSP iaitu struktur tadbir urus yang kukuh, kepelbagaian cabang pelaburan serta profesionalisme dan integriti.

Beliau berkata, ia turut didorong strategi pelaburan dana persaraan itu yang menghasilkan pulangan lebih baik dengan mempelbagaikannya kepada pasaran asing dan kelas aset baru.

Selain itu, laporan terbabit juga menyatakan antara cabaran kepada Malaysia termasuklah populasi berusia yang berkembang dan kebanyakan rakyat negara ini tidak mempunyai simpanan minimum yang diperlukan bagi persaraan.

“Pada 2015, satu daripada lapan individu berumur 60 atau lebih tua, yang mana angka ini akan menjadi satu daripada enam pada 2030 malah akan mengecil kepada satu daripada lima pada 2050.

“Pengukuhan kepada institusi seperti KWSP adalah matlamat kebanyakan negara sebagai langkah utama dalam memastikan kesejahteraan rakyat mereka.

“Bank Dunia juga berharap dapat bekerjasama dengan KWSP dalam aspek keselamatan sosial serta penyelesaian dasar kepada populasi yang berusia,” katanya pada majlis pelancaran Laporan Kajian Kes KWSP oleh Bank Dunia di Kuala Lumpur, semalam.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Tunku Alizakri Raja Muhammad Alias dan Penulis Buku Laporan Kajian Kes, Dr Muhammed Abdul Khalid.

Selain itu, Tunku Alizakri turut menjadi ahli panel bersama Prof Emeritus Datuk Norma Mansor dari Pusat Penyelidikan Kesejahteraan Sosial Universiti Malaya dan Pakar Sektor Kewangan Bank Dunia, Fiona Stewart sebagai moderator.

Laporan Bank Dunia itu menggariskan mengenai kepentingan bagi KWSP untuk membangunkan strategi pelaburan jangka panjang yang dipacu oleh pencarumnya.

Malah, penekanan juga perlu terus berevolusi dari semasa ke semasa bagi mencapai skala, kepakaran dan pengalaman serta mengenalpasti keperluan bagi memaksimumkan pulangan.

KWSP adalah institusi keselamatan sosial yang ditubuhkan di bawah Akta Kumpulan Wang Simpanan Pekerja 1991 (Akta 452) yang menyediakan faedah persaraan kepada ahlinya melalui pengurusan simpanan secara cekap dan boleh dipercayai.

Disiarkan pada: October 31, 2018 @ 6:00am
d