bisnes

Ombak 'badai' pasaran Malaysia

Oleh Sofyan Rizal Ishak

Seoul: Coway Co Ltd (Coway), pengeluar penulen udara dan penapis air dari Korea Selatan bakal memperkenalkan produk penapis air terbaru iaitu Ombak yang direka khusus untuk memenuhi keperluan harian pengguna di negara ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Harri Lee Hae Sun berkata, penapis yang memiliki kapasiti tangki terbesar di pasaran iaitu 13.5 liter itu akan membolehkan pengguna untuk menetapkan suhu air diingini tanpa perlu melakukannya secara manual.

“Produk ini dijangka menjadi penyelesaian terbaik dalam mendapatkan suhu air sempurna bagi pelbagai tujuan seperti memasak, menghasilkan minuman dan merebus melalui tawaran ciri penetapan suhu sehingga 50 kombinasi,” katanya pada media bersempena lawatan media anjuran Coway ke Korea Selatan di sini.

Beliau berkata, produk penapis air Ombak itu dihasilkan selepas melakukan kajian mengenai keperluan penggunaan air dan keadaan air di negara ini.

Menurutnya, perbezaan air di negara ini menjadi faktor utama kepada penghasilan produk itu di mana ia direka berdasarkan model sedia ada tertentu ditambah baik khusus bagi memenuhi permintaan di pasaran tempatan.

“Kami yakin penghasilan penapis air terbaru ini akan mendapat sambutan dalam kalangan pengguna tempatan dan bakal menjadi satu lagi kejayaan besar kepada Coway Malaysia berdasarkan keunikan produk itu dan tawaran perkhidmatan selepas jualan kami,” katanya.

Harri Lee berkata, setakat ini pihaknya hanya akan memasarkan penapis air Ombak itu di pasaran tempatan memandangkan ia sememangnya dihasilkan khusus bagi memenuhi keperluan pengguna Malaysia.

“Bagaimanapun, kami akan mempertimbangkan untuk meluaskan pasaran produk ini ke negara jiran seperti Indonesia serta negara Islam di benua Timur Tengah kerana ia memiliki pensijilan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim),” katanya.

Sementara itu, Coway membawa 26 wakil media tempatan untuk menjadi antara kumpulan pertama yang melihat sendiri pemasangan penapis air Ombak yang dilakukan sepenuhnya di kilang Coway yang terletak di Yugu, Korea Selatan.

Melalui sesi lawatan itu, barisan pengamal media berpeluang melihat sendiri proses pemasangan produk penapis air terbaru Coway itu bermula daripada peringkat awal hingga akhir.

Lebih menarik, setiap peringkat bagi proses pembuatan dan pemasangan di kilang itu mendapat pengiktirafan sijil halal Jakim, sekali gus menjadikan ia berpotensi untuk dipasarkan di Malaysia dan negara Muslim lain terutama di Asean dan Timur Tengah.

Disiarkan pada: November 5, 2018 @ 9:43am
d