bisnes

Inisiatif e-sukan permulaan baik

Oleh HM Digital

Kuala Lumpur: Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) menyifatkan inisiatif berkaitan e-sukan yang diumumkan kerajaan pada Belanjawan 2019 lalu akan memberikan pengiktirafan dan pemerkasaan kepada belia untuk meneruskan minat mereka dalam permainan dan e-sukan.

Menurut organisasi itu, e-sukan adalah sebahagian daripada ekosistem yang semakin meningkat dan ia akan memberi peluang kepada Malaysia mengasah bakat baru dalam ekosistem yang boleh menjadi juara dalam e-sukan dan penciptaan permainan untuk pasaran dunia.

“Ini adalah permulaan yang baik dalam menjadikan Malaysia hab e-sukan di rantau ini dan akan menjadi sebahagian daripada industri permainan teknologi tinggi secara keseluruhan,” katanya,
di sini.

Kerajaan mengumumkan peruntukan RM10 juta pada Belanjawan 2019 bagi membangunkan bidang e-sukan di negara ini.

e-sukan adalah sektor pertumbuhan penting dan meningkat di Malaysia serta rantau ini dipacu melalui polisi positif seperti sokongan sukan itu yang diiktiraf sebagai sukan rasmi di beberapa negara seperti Korea Selatan, China, Rusia, Jerman dan Itali.

Pada 2018, industri terbabit mencatatkan peningkatan positif dengan dianggarkan terdapat kira-kira 2.4 juta peminat e-sukan
di Malaysia.

Disiarkan pada: November 7, 2018 @ 12:00pm
d