bisnes

Pendanaan awam perlu kajian mendalam

Oleh HM Digital

Kuala Lumpur: Kajian lebih mendalam diperlukan untuk memastikan pelaksanaan platform crowdfunding (pendanaan awam) hartanah yang diumumkan dalam Belanjawan 2019 mencapai matlamatnya.

Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan, Tun Daim Zainuddin berkata, pelaksanaan platform itu adalah yang pertama seumpamanya di dunia.

Beliau berkata, pemilikan rumah di Malaysia adalah isu penting yang perlu diselesaikan.

“Jika ia (pendanaan awam) pilihan yang baik, kita teruskan. Jika sebaliknya, perlu cari cara lain,” katanya pada Siri Persidangan Affin Hwang Capital 2018 di sini, semalam.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai pandangannya terhadap pelaksanaan inisiatif itu.

Daim berkata, ketidakpadanan antara pendapatan dan harga rumah adalah masalah sebenar yang menyebabkan ramai rakyat tidak mampu membeli.

Justeru, katanya, pihak berkaitan perlu berbincang secara bersama dalam mencari penyelesaian terbaik kepada masalah itu.

Beliau mencadangkan subsidi bersilang dilaksanakan bagi menyelesaikan masalah itu.

Disiarkan pada: November 9, 2018 @ 12:00pm
d