bisnes

Jualan 11.11 CJ Wow Shop naik 50%

Oleh HM Digital

Kuala Lumpur: CJ Wow Shop, rangkaian beli-belah dari rumah yang inovatif mencatatkan peningkatan jualan hampir 50 peratus pada 11 November lalu bersempena Festival Jualan 11.11 berbanding tempoh sama tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Kim Yang Hyun berkata, pencapaian itu akan memberi impak yang besar kepada syarikat untuk mencapai sasaran jualan tahunan sebanyak RM200 juta menjelang akhir tahun ini.

“Untuk inisiatif 11.11 atau Singles Day ini, kami mencari faktor ‘wow’ kepada pelanggan di mana kami bekerjasama dengan Shopee sepanjang bulan ini untuk memperluaskan jangkauan produk berkualiti dan inovatif kepada pelanggan pada harga berpatutan.

“Melalui kerjasama ini, orang ramai boleh menikmati penjimatan terbaik sehingga 70 peratus bagi rangkaian produk keperluan rumah terpilih, barangan elektrik, gajet atau produk kecantikan bermula dari 1 hingga 30 November ini,” katanya pada Bisnes NSTP di sini, semalam.

Antara kategori produk yang mencatatkan jualan tertinggi di CJ Wow Shop adalah keperluan rumah, perkakasan elektrikal dan kecantikan.

Beliau berkata, pihaknya komited membawa shoppertainment iaitu pengalaman beli-belah yang diyakini dan dipercayai kepada pelanggan dalam pelbagai cara yang menghiburkan.

“Menyedari perkara ini, kami menjadikan ia sebagai keutamaan bagi mencetuskan keseronokan pelanggan melalui kempen seperti 11.11 dan mencari cara baharu untuk memberi ganjaran kepada pelanggan pada hari perayaan dan istimewa sekali gus mengubahnya kepada saat menarik yang mereka inginkan.

“Ia dibuktikan melalui penganjuran pelbagai kempen sambutan ulang tahun seperti Wow in A Million dan kolaborasi unik bersama personaliti Korea kesukaan rakyat Malaysia,” katanya.

Disiarkan pada: November 15, 2018 @ 1:01pm
d