bisnes

Eksport perlahan 2 segmen

Oleh Sofyan Rizal Ishak

Kuala Lumpur: Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) menjangka pertumbuhan eksport fesyen dan perabot perlahan pada kadar dua hingga tiga peratus tahun ini akibat perang perdagangan Amerika Syarikat dan China.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Pemecutan Eksport, Datuk Wan Latiff Wan Musa berkata, eksport bagi produk fesyen yang merangkumi tekstil, pakaian dan kasut meningkat 10.4 peratus tahun ke tahun pada 2017 untuk mencapai RM15.33 bilion manakala eksport perabot naik kepada 6.4 peratus kepada RM10.14 bilion.

“Kami kini melihat pertumbuhan tidak menentu dalam bidang ini berikutan kelemahan ekonomi global akibat perang perdagangan,” katanya pada sidang akhbar selepas berucap pada seminar Daripada Penghasilan Barangan Asli kepada Penghasilan Rekabentuk Asli/Penghasilan Jenama Asli: Keistimewaan dan Cabaran di sini, semalam.

Bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun ini, eksport fesyen berjumlah RM11.21 bilion manakala eksport perabot mencecah RM7.1 bilion.

Wan Latiff berkata, bagi mengekalkan dan meningkatkan jumlah itu, syarikat Malaysia perlu mengambil langkah berani mencipta jenama mereka sendiri,

“MATRADE menggesa syarikat Malaysia menambah rantaian nilai dengan menginovasi menerusi pengeluaran reka bentuk sendiri (ODM) atau pengeluaran jenama sendiri (OBM) untuk menghasilkan produk dan perkhidmatan bernilai tinggi untuk dieksport.

“Pelaburan dalam ODM dan OBM memberi peluang kepada syarikat (tempatan) memperoleh bahagian lebih besar di pasaran global yang semakin kompetitif menerusi rekabentuk, pemasaran dan pengurusan jenama mereka sendiri, dan tidak hanya berfungsi sebagai pengeluar barangan asal,” katanya.

Beliau berkata, mengubah rantaian nilai kepada ODM and OBM menjadi mahal kerana ia memerlukan banyak penyelidikan dan pembangunan.

Namun, katanya pada masa ini, pengguna sanggup membelanjakan wang untuk barangan berjenama berikutan barangan berkenaan kebiasaannya berkualiti.

Wan Latiff berkata, insentif disediakan agensi kerajaan bagi membantu perniagaan dalam bidang ini misalnya SME Corp memberi dana membantu usahawan membangunkan jenama mereka manakala MATRADE menyediakan geran pembangunan pasaran.

“Geran disediakan untuk menolong syarikat mempromosi jenama mereka. Mereka boleh menuntut sehingga RM15,000 bagi menyertai pameran perdagangan antarabangsa dan maksimum RM10,000 jika terbabit dalam misi pemecutan eksport,” katanya.

Disiarkan pada: November 20, 2018 @ 3:01pm
d