bisnes

Pesta buku Popular Malaysia kali ke-12 di SQCC

Oleh Sofyan Rizal Ishak

KUALA LUMPUR: Popular Book Co (M) Sdn Bhd (Popular Malaysia) bakal menganjurkan Popular Mega Bookfair buat kali ke-12 berturut-turut di Pulau Pinang bertempat di Pusat Konvensyen Straits Quay (SQCC) pada 29 November hingga 9 Disember ini.

Pesta buku ini bukan saja menawarkan bacaan dalam Bahasa Inggeris, Cina dan Melayu malah pelbagai alat tulis, cakera padat, cakera video digital, gajet dan peralatan teknologi maklumat (IT) pada harga menakjubkan.

Popular Malaysia berkata, Pulau Pinang adalah tempat istimewa dalam sejarah pesta buku ini kerana ia menjadi satu daripada dua lokasi penganjuran acara itu pada 2007.

“Sejak bertahun-tahun, acara ini berkembang di lokasi lain seperti Melaka, Pahang, Sabah, Sarawak dan Selangor,” katanya di sini, semalam.

Acara itu akan menawarkan pelbagai ganjaran dan aktiviti menarik seperti hari ahli pada 29 November dan ganjaran ahli kepada pemegang kad Popular, harga istimewa bagi lebih 120 produk terpilih, pembelian dengan pembelian dan pemberian baucar bernilai RM20 bagi setiap pembelian minimum RM150 dalam satu resit.

Selain itu, terdapat penganjuran sesi interaktif dengan penulis buku antarabangsa seperti Dr Wong Seng Weng dan Lan Qi Zuo Ren serta penulis tempatan seperti Peter Lam, Zhariff Afandi dan Jason Shyang.

Popular Malaysia berkata, terdapat juga penganjuran aktiviti menarik seperti kuiz, pertandingan mewarna, pertandingan bercerita dan pelbagai bengkel seperti rekaan baju-T.

“Kami berharap orang ramai berkunjung ke Popular Mega Bookfair di SQCC.

“Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web www.popular.com.my atau laman Facebook Popular Malaysia,” katanya.

Disiarkan pada: November 21, 2018 @ 4:31am
d