bisnes

Sudah diteliti

Oleh Farah Adilla

KUALA LUMPUR: Langkah Kementerian Komunikasi dan Multimedia menggesa Telekom Malaysia Bhd (TM) menawarkan harga jalur lebar lebih murah dengan kelajuan lebih tinggi menjelang akhir tahun ini bukan serangan peribadi terhadap syarikat telekomunikasi, kata Timbalan Menterinya, Eddin Syazlee Shith.

“Saya percaya sebarang keputusan yang dibuat menteri (Gobind Singh Deo) bukan untuk menjadikan sesiapa sebagai mangsa, tetapi sebaliknya ia dikaji dengan teliti sebelum tindakan dilaksanakan.

“Semua keputusan yang dibuat menteri berdasarkan keperluan semasa rakyat,” katanya selepas melancarkan eCikgu, sebuah ciri baru dalam portal eKelas yang dihasilkan Maxis Bhd di sini, semalam.

Ditanya mengenai nasib 27,000 kakitangan TM yang mungkin terjejas di bawah cabaran perniagaan semasa, beliau percaya kementerian turut mengambil kira faktor itu apabila membuat keputusan mengenainya.

“Kami sentiasa mempertimbangkan kebajikan semua pekerja di bawah syarikat yang berkait dengan kementerian,” katanya.

Kelmarin, seorang penganalisis berkata, walaupun tindakan Gobind itu memberi manfaat kepada rakyat, syarikat telekomunikasi itu kini beroperasi dalam kos yang tinggi.

“Secara ringkasnya, percubaannya (Gobind) untuk mengawal selia segmen ini (telekomunikasi) menyebabkan harga saham TM berada di bawah tekanan,” katanya.

Seorang lagi penganalisis berpendapat, ia akan lebih mencabar bagi TM untuk bergerak ke hadapan memandangkan dasar kerajaan baru yang mendesak syarikat telekomunikasi supaya mengurangkan harga jalur lebar dan pada masa yang singkat boleh menjejaskan keuntungannya, sekali gus menyebabkan keyakinan pelabur hilang.

Disiarkan pada: November 24, 2018 @ 4:00am
d