bisnes

Garmin keluar GPS Instinct

KUALA LUMPUR: Garmin Ltd memperkenalkan Instinct, jam tangan GPS ke pasaran tempatan untuk kegunaan sukan lasak dan mencabar.

Dijual pada harga RM1,450, jam tangan yang hanya seberat 52 gram itu diperkukuh oleh kerangka polimer yang sangat ringan tapi tahan lasak dan boleh bertahan pada suhu -20 hingga 60 darjah Selsius.

Instinct menyokong beberapa jenis aktiviti lasak utama termasuk berlari, mendaki, berbasikal dan berenang bagi mengesan kadar degupan jantung, menjejak langkah, jarak perjalanan, jumlah kalori dibakar dan sebagainya.

Walaupun ia hanya dilengkapi skrin monokrom dengan resolusi 128 x 128 piksel, namun paparannya masih jelas walaupun di bawah sinar cahaya terang.

Selain keupayaan sistem kedudukan global atau GPS, ia juga dilengkapi sensor kompas dan kedudukan ketinggian atau altimeter.

Jika digandingkan dengan telefon pintar yang terlebih dahulu dipasang dengan aplikasinya, jam tangan pintar ini juga boleh menerima notifikasi teks, e-mel dan sebagainya.

Didatangkan dengan tiga warna pilihan iaitu kelabu, merah dan hitam.

Disiarkan pada: November 30, 2018 @ 4:01am
d