bisnes

Projek LSS mula beroperasi

Oleh Mohd Zaky Zainuddin

KUALA LUMPUR: Projek Solar Berskala Besar (LSS) milik Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Mukim Tanjung 12, Sepang, Selangor sudah mula beroperasi dan menyumbang tenaga boleh baharu (RE) ke grid nasional bermula tengah malam 23 November lalu.

LSS terbesar pertama negara di kawasan seluas 98 hektar itu menjana elektrik menggunakan 230,000 panel solar.

Penjanaan dengan kapasiti 50MWac meningkatkan kapasiti RE TNB ke grid nasional kepada 73.2 MW sejajar agenda kerajaan memperkasakan penjanaan tenaga yang lebih mesra alam.

Projek di bawah Rancangan Malaysia ke-11 (RMK-11) yang dimenangi secara bidaan kompetitif bernilai lebih RM300 juta itu dibangunkan oleh TNB Sepang Solar Sdn Bhd (TSSSB), sebuah anak syarikat milik penuh TNB mulai tahun lalu.

LSS itu mencapai tarikh awal operasi (IOD) dengan penjanaan awal sebanyak 2.4 MW, Oktober lalu.

Mula tugas LSS berkenaan menyumbang kepada usaha kerajaan menuju sasaran penjanaan 20 peratus daripada sumber RE menjelang 2030.

TNB dalam kenyataan semalam berkata, syarikat komited mendukung usaha menyasarkan sumbangannya terhadap kapasiti penjanaan daripada RE sebanyak 1,700MW menjelang 2025.

Projek LSS dimulakan pada Julai tahun lalu di atas tanah berkeluasan 98 hektar di Kuala Langat.

TNB Engineering Corporation Sdn Bhd pula adalah rakan kongsi kejuruteraan, perolehan dan pembinaan (EPC) bagi projek itu.

Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim menetapkan sasaran bahawa 20 peratus daripada tenaga elektrik negara akan dijana menerusi sumber boleh diperbaharui menjelang 2030.

Kira-kira 53 peratus janaan kuasa di Semenanjung adalah daripada arang batu, manakala 42 peratus daripada gas asli dan lima peratus adalah hidro dan bentuk RE.

Disiarkan pada: December 6, 2018 @ 4:16am
d